Nahar Tajri
PRESIDEN Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini, secara konsisten mempertahankan kenyataannya bahawa cek bernilai RM1.6 juta yang diserahkan kepada TS Consultancy & Resources, untuk dibayar kepada Yayasan Restu adalah bagi tujuan percetakan al-Quran.
Ahmad Zahid menyangkal kenyataan dibuat bekas pegawai khasnya, Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar bahawa cek yang dibayar itu adalah bagi tujuan daftar pengundi Umno.
Walaupun diasak Pendakwa Raya, Datuk Raja Rozila Raja Toran, Ahmad Zahid tenang menjawab semua soalan dan tidak berganjak dari pendiriannya bahawa cek berkenaan adalah bagi tujuan percetakan Al Quran seperti didakwanya sebelum ini.
Terdahulu, sesi soal balas pihak pendakwaan ke atas Ahmad Zahid dalam kes pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram dihadapinya berkaitan dana Yayasan Akalbudi di Mahkamah Tinggi pagi tadi, bermula tegang.
Dalam prosiding hari ini, Raja Rozela memulakan sesi soal balas dengan mengimbas kembali pembelaan Ahmad Zahid semalam, yang disifatkannya cerita kisah suka duka politik dan belakang tabir yang tidak semuanya diketahui oleh kalangan orang politik.
Pada ketika itu, Raja Rozela bertanyakan kepada Ahmad Zahid apa yang ditulis oleh bekas timbalan perdana menteri itu di dalam kandang saksi, dan selepas tiga kali mengulang soalan sama, Ahmad Zahid menjawab: “(Menulis) soalan.”
Ketika Raja Rozela bertanyakan soalan mengenai prinsip undang-undang yang menetapkan semua orang tertakluk kepada undang-undang yang sama tanpa mengira miskin atau kaya, Ahmad Zahid menjawab beliau bersetuju dengan kenyataan itu bagaimanapun menjelaskan, bukan membabitkan tuduhan terpilih.
Raja Rozela bagaimanapun berkata, Ahmad Zahid hanya perlu menjawab ‘ya’ atau ‘tidak’ dan tidak perlu memberikan penjelasan.
Ahmad Zahid bagaimanapun dengan tegas berkata; “Itu hak saya untuk jawab.”
Keadaan itu ditenangkan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah yang memberitahu Ahmad Zahid bahawa beliau akan diberi peluang oleh peguamnya untuk memberikan penjelasan.
Mengimbas keterangan Ahmad Zahid semalam yang menyatakan mengenai penyelewengan tiga ahli politik, Raja Rozela berkata, isu politik dan wang tidak boleh dipisahkan dan bertanyakan sama ada ia munasabah atau tidak kenyataan itu.
Ahmad Zahid menjawab: “Setiap ahli politik, mana pun seseorang itu sangat memerlukan wang untuk melaksanakan aktiviti politik, wang bukan segalanya tetapi segalanya memerlukan wang.
Sementara itu, Ahmad Zahid tidak bersetuju dengan cadangan bahawa penipuan, rasuah dan sogokan semakin berleluasa di negara ini.
Perbicaraan bersambung esok apabila Ahmad Zahid mengadu sakit di bahagian belakang badannya dan perlu ke hospital untuk membuat pemeriksaan. – Malaysiapost