Armada desak Zahid jawab isu SD sokong Anwar jadi PM

Armada desak Zahid jawab isu SD sokong Anwar jadi PM

ARMADA Bersatu mendesak Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menjawab pendedahan Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dengan segera agar masyarakat terutamanya ahli Umno medapat jawapan yang sebenar.

Ketuanya, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, berkata beliau yakin ahli Umno masih menunggu jawapan Presiden mereka dan Ahmad Zahid tidak perlu mengalihkan isu lain.

“Kalau tak ingat soalan tak apa, saya bantu – ‘Betul atau tidak kamu ada tandatangan SD (akuan bersumpah) sokong (Datuk Seri) Anwar Ibrahim jadi Perdana Menteri?'”

“Jawab yang itu dulu sebelum nak sibuk urusan Majlis Pemulihan Negara (MPN). Bubar atau tidak, itu tak ada kena mengena dengan kamu. Itu urusan kerajaan,” katanya dalam hantaran Facebook.

Terdahulu, Ahmad Zahid mencadangkan kerajaan membubarkan MPN kerana mendakwa badan itu gagal dalam menjalankan fungsi sebenar penubuhannya.

Beliau berkata ia juga sejajar dengan penubuhan Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi bagi mengelak pecanggahan dengan usaha-usaha terkini kerajaan untuk menangani masalah rakyat.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, kerajaan perlu sedar bahawa dengan penubuhan Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi itu, MPN yang dipengerusikan Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak lagi berkesan dan perlu.

Mengulas berkenan cadangan tersebut, Wan Ahmad Fayhsal berkata, sehingga kini MPN yang dianggotai Menteri dan pakar-pakar dalam pelbagai bidang ekonomi, sosial, industri telah menjalankan tugasan mereka dengan baik.

Menurutnya, setiap bulan ahli MPN akan bertemu, berbincang dan mendengar segala cadangan yang dikemukakan oleh kementerian, agensi dan NGO (badan bukan kerajaan) dengan iltizam untuk memulihkan ekonomi negara.

“Hasil daripada perbincangan-perbincangan tersebut, MPN akan mencadangkan pula kepada ahli kabinet untuk diambil tindakan menerusi kementerian dan agensi masing-masing.

“Ha! Itu saya dah jawabkan. Sekarang ni giliran kamu pula jawab Tajuddin. Berkata benarlah walau pahit wahai Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi!,” katanya. – Malaysiapost

Komen