Ebit Lew tunai impian dua beradik kembali ke sekolah

Ebit Lew tunai impian dua beradik kembali ke sekolah

SINAR baharu buat dua beradik perempuan yang tular kerana kesempitan hidup, apabila pendakwah bebas Ebit Lew tampil membantu mereka.

Dua beradik yang menetap di Pulau Tioman bersama ibu mereka itu, dikatakan dibesarkan dalam keadaan serba daif selain tidak dapat menyambung persekolahan disebabkan masalah pendaftaran.

Ebit berkata, sejurus kisah dua beradik itu tular beliau segera mengunjungi keluarga berkenaan untuk memberi bantuan bagi meringankan beban keluarga terbabit.

“Sebak sangat tular tentang Yaya, 9 tahun dan kakaknya 13 tahun tak sekolah di Pulau Tioman. Jam 3 pagi dari Kuala Lumpur terus bergerak ke sana.

“Sampai rumahnya yang sangat uzur keadaannya. Tandas pun kecil di luar rumah. Ibunya seorang diri besarkan mereka dengan pelbagai ujian hidupnya,” tulis Ebit di Facebooknya.

Jelas Ebit lagi, kedua-dua beradik itu menzahirkan keinginan untuk ke sekolah seperti mana kanak-kanak dan remaja seusia mereka.

Justeru, beliau membantu dua beradik itu mendaftar di sebuah sekolah asrama dan mengurskan segala keperluan mereka untuk menyambung persekolahan.

“Yaya teringin nak belajar seperti anak yang lain. Menangis cerita keinginannya nak belajar tapi masalah pendaftaran.

“Bila saya kata nak tak kami bantu sekolah dan masuk asrama. ‘Happy’ betul Yaya dan kakaknya. Terus bersiap-siap untuk ikut kami. Seharian bawa ‘shopping’ dan menguruskannya. Sedih pula rasa bila dua anak ini sebaya anak saya dapat masuk belajar,” katanya.

Selain itu, Ebit juga berjanji akan membantu untuk membaikpulih rumah ibu dua beradik berkenaan demi keselesaan keluarga itu.

“Kami juga akan bantu ‘repair’ rumah ibunya. Belajar rajin-rajin ye adik-adik. Semoga Allah mudahkan segalanya. Jadi anak solehah dan baik.

“Ramai lagi nasib anak begini di luar sana. Mereka anak yang baik. Semoga kita semua dapat bantu semua anak-anak di luar sana,” katanya. – Malaysiapost

Komen