Enggan campur kes mahkamah, punca Najib batal SD sokong Anwar jadi PM

Enggan campur kes mahkamah, punca Najib batal SD sokong Anwar jadi PM

PRESIDEN PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan beliau pernah mendapat sokongan 120 Ahli Parlimen termasuk 15 daripada Umno untuk menjadi Perdana Menteri pada 2020.

Menurut Anwar, bagaimanapun jumlah tersebut berkurangan selepas beliau berpendirian enggan campur tangan dalam perbicaraan mahkamah membabitkan Datuk Seri Najib Razak, selepas dilantik menjadi Perdana Menteri.

Anwar berkata, selain Najib, Ahli Parlimen yang menarik balik sokongan kepadanya ketika itu ialah Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Katanya, sokongan Ahli Parlimen Umno yang dibuat melalui perakuan bersumpah (SD) itu tidak dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong sebaliknya dihantar terus ke Istana Negara.

“Ada (SD) yang dikirim terus ke istana, termasuk yang disebut 15 dari Umno, tetapi PH (Pakatan Harapan) pada masa itu menyatakan bahawa jumlah sokongan menjangkau sehingga 120.

“Prinsip (PH), kami tidak menerima SD daripada Najib dan Zahid tetapi menjadi hak dia untuk tandatangan menyokong sesiapa ikut proses (yang ada),” katanya seperti dilaporkan MalaysiaKini.

Anwar menjelaskan, ia tidak sepatutnya menjadi isu kerana walaupun SD Najib dan Ahmad Zahid tidak diambil kira, PH masih memiliki jumlah majoriti, iaitu 118 untuk membentuk kerajaan.

Menurut Anwar, apa yang berlaku sesudah itu, beliau diminta untuk memberi kepastian bahawa urusan mahkamah membabitkan pemimpin Umno – khususnya Najib – tidak diteruskan.

Kata Anwar, mereka mahu beliau menggunakan kuasa sebagai Perdana Menteri untuk memastikan perbicaraan tersebut tidak berterusan.

“Saya tidak bersedia melakukan hal itu.

“Jadi, walaupun jumlah sokongan mencukupi dan laluan sebagai Perdana Menteri sudah cukup kuat, saya tidak bersedia untuk berkompromi dalam soal kebebasan badan kehakiman,” katanya.

Disebabkan keengganan itu, Anwar berkata, Najib kemudian mengusulkan nama lain sebagai calon Perdana Menteri pada saat-saat akhir.

Dalam pada itu, Anwar menegaskan pendedahan Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman membuktikan beliau memang sudah mendapat sokongan mencukupi untuk menjadi Perdana Menteri, dua tahun lalu.

Ini kerana, Anwar berkata, beliau menerima banyak tuduhan termasuk pihak yang meragui kenyataannya, selain mengambil sikap enggan menjawab dakwaan yang timbul bagi menjaga hubungan dengan pihak istana.

Bagaimanapun, Anwar berkata, beliau bersyukur kerana perkara sebenar terbongkar dengan sendirinya melalui pendedahan Tajuddin.

“(Ia adalah) dalam cara kita memuliakan institusi raja dan juga menghormati prinsip perlembagaan.

“Kalau ditakdirkan jadi (perdana menteri), Alhamdulillah jadilah begitu, kalau tidak pun, kita bersabar dan teruskan perjuangan.

“Tapi yang nyata sekarang, orang yang buat tohmahan itu telah melakukan kesalahan besar dan fitnah, malah mempermainkan, memperolokkan di media sosial begitu dan begini.

“Ada yang beranggap kita sedia buat apa saja termasuk bersekongkol dengan kleptokrat (untuk jadi kerajaan), itu tak benar,” katanya.

Isnin lalu, Tajuddin mendedahkan wujud SD daripada Ahli Parlimen Umno untuk menyokong Anwar menjadi Perdana Menteri.

Tajuddin berkata, beliau adalah saksi hidup yang turut menandatangani SD itu meskipun yang pada awalnya menolak cadangan pucuk pimpinan parti berkenaan. – Malaysiapost

Komen