Filem Mat Kilau bangkit jati diri Islam, bawa mesej dakwah – Idris

Filem Mat Kilau bangkit jati diri Islam, bawa mesej dakwah – Idris

FILEM Mat Kilau telah membangkit semangat jati diri Islam, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad.

Beliau berkata, ini kerana filem itu disajikan unsur-unsur nasihat, ikatan ukhuwah yang kuat dengan semunya terangkum dalam karya berkenaan.

“Semuanya terangkum di dalam cerita ini. Ia membawa mesej dakwah kepada masyarakat,” katanya menerusi Facebook.

Idris berkata, beliau turut berbangga dan kagum dengan sambutan filem Mat Kilau, yang kini menjadi fenomena serta meraih kutipan lebih RM20 juta dalam tempoh seminggu.

Tambahnya, filem Mat Kilau ini juga boleh menjadi contoh dalam industri dan turut memaklumkan pihaknya mengundang pasukan Studio Kembara, penerbit Mat Kilau ke pejabatnya.

“Filem Mat Kilau adalah hasil kerja dan usaha gigih mereka bersama.

“Ia juga menjadi amal jariah kepada penerbit, pengarah filem, pelakon serta krew produksi dan seluruh yang terlibat,” katanya.

Idris juga menzahirkan ucapan tahniah dan syabas kepada Pengarah Urusan Studio Kembara, Abdul Rahman Mat Dali dan seluruh teman-teman selaku penerbit filem Mat Kilau.

“Tahniah juga buat Saudara Syamsul Yusof selaku pengarah, seluruh barisan pelakon dan warga produksi filem Mat Kilau,” katanya.

Dalam pada itu, beliau juga memaklumkan Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama akan menganjurkan Majlis Anugerah Media Islam pada Januari 2023.

“JAKIM telah diberikan amanah untuk menjadi sekretariat Anugerah ini. Anugerah yang akan mengiktiraf karya-karya kreatif berunsurkan Islam.

“Justeru, teruskan berkarya. Saya sentiasa doakan perjuangan kalian semua. Siiru ‘ala barakatillah,” katanya.- Malaysiapost

Komen