Harga minyak masak botol naik, beli minyak masak paket – saran Najib

Harga minyak masak botol naik, beli minyak masak paket – saran Najib

DATUK Seri Najib Razak mengingatkan orang ramai bahawa masih wujud minyak masak paket yang jauh lebih murah harganya, susulan kebimbangan mereka terhadap pemansuhan subsidi minyak masak botol.

Jelas bekas Perdana Menteri itu, ramai tidak sedar bahawa subsidi botol ini tidak pernah wujud sehingga ia diperkenalkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) pada Ogos 2021 untuk memudahkan rakyat mencari dan membeli minyak masak bersubsidi ketika tempoh lockdown.

“Jumlah subsidi ini adalah sangat kurang berbanding subsidi bagi minyak masak paket yang dijual pada harga RM2.50 setiap kilogram (kg) berbanding harga RM6.70 bagi minyak botol 1kg.

“Jadi, mereka yang bimbang tentang pemansuhan subsidi minyak masak botol perlu tahu bahawa minyak masak paket yang jauh lebih murah harganya masih wujud.

“Kenapa nak bimbang bahawa kita tak boleh beli minyak masak dengan harga RM6.70 satu kg lagi sedangkan minyak masak dengan harga RM2.50 masih dikekalkan dan diperluaskan?,” katanya menerusi Facebook.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai subsidi minyak masak botol akan tamat sekali gus menyebabkan harga bakal naik 40 peratus daripada RM6.70 kepada RM9.50 bagi 1kg.

Beliau berkata, subsidi minyak masak paket bagi keperluan domestik, bukan komersial ini diperkenalkan kerajaan Barisan Nasional (BN) dan tidak pernah dimansuhkan sehingga kini kerana ia dibiayai cukai durian runtuh ke atas minyak sawit.

Justeru, katanya, apabila harga minyak sawit tinggi, harga minyak masak turut tinggi dan kerajaan akan mengutip duit dari cukai durian runtuh ini bagi subsidi minyak masak paket.

“Sebaliknya bila harga minyak sawit rendah, harga minyak masak pun turun dan tiada keperluan bagi subsidi,” katanya.

Bagaimanapun, beliau juga berharap kerajaan akan memastikan pengeluaran dan pengedaran minyak masak paket bersubsidi dapat dijamin agar permintaan semua yang ingin membeli dapat ditepati.

Tambahnya, memandangkan harga subsidi iaitu RM2.50 adalah jauh lebih rendah berbanding harga sebenar iaitu melebihi RM9, maka kerajaan perlu memantau dan mengawal dengan lebih teliti agar penyeludupan ke negara jiran dan penyalahgunaan minyak masak paket oleh restoran dan kilang dapat dikurangkan. – Malaysiapost

Komen