Isu DNB perlu Intervensi Kabinet – MTEM

Isu DNB perlu Intervensi Kabinet – MTEM

MAJLIS Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, campur tangan dalam isu membabitkan Digital Nasional Berhad (DNB) yang dibangkitkan termasuk penawaran kontrak kepada syarikat bumiputera

Pengerusinya Abdul Halim Husin, berkata MTEM sebagai payung badan bukan kerajaan (NGO) ekonomi bumiputera berkongsi kegusaran sama dibangkitkan Pemuda Umno berkaitan DNB dalam sidang media baru-baru ini.

Menurutnya, berdasarkan maklumat yang diterima pihak DNB tidak mengambil endah lansung tentang perkara yang dibangkitkan.

“Malah dikhabarkan DNB dalam proses akhir menawarkan kontrak lebih 250 ‘In-building System (IBS) Site’ kepada kontraktor bukan bumiputera secara ‘turnkey’ dengan jumlah nilai kontrak yang cukup besar.

“Ramai lagi kontraktor bumiputera yang berwibawa dan berpengalaman untuk menjalankan kerja kerja seperti ini dipinggirkan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, terdapat sesuatu yang tidak kena dengan DNB dalam format dan gerak kerja yang sedia ada sekaligus mengesahkan kenyataan dibuat Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Zahidi Zainul Abidin dan Pemuda Umno yang mencadangkan siasatan terhadap DNB.

Zahidi dalam sidang media pada 21 Jun lalu, menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) menyiasat DNB dan pelancaran rangkaian 5G yang sepatutnya dilaksanakan oleh syarikat itu.

Gesaan itu dibuat selepas beliau menerima memorandum daripada Pemuda Umno yang mendesak SPRM agar segerakan siasatan terhadap DNB berhubung pelancaran rangkaian 5G.

Abdul Halim memohon disebalik pelbagai isu politik ketika ini, agar Perdana Menteri membuat intervensi di peringkat Kabinet dengan mengarahkan DNB untuk menangguhkan pemberian kontrak yang tidak telus itu selaras dengan ketidakpuashatian yang digambarkan Pemuda Umno

“Kerajaan yang dikuasai parti-parti Melayu, Islam dan bumiputera tidak boleh tidak mengambil sikap sambil lewa tentang ini, objektif DNB tidak menjadi keadaan yang dikendong tidak tercicir dan yang dikejar pula tak dapat.

“Oleh itu MTEM, mendesak Perdana Menteri selaku Pengerusi Majlis Tindakan Ekonomi dan Majlis Kemakmuran Bersama untuk campur tangan dalam memastikan ketelusan perolehan DNB, pada masa sama memastikan penglibatan syarikat bumiputera yang saksama,”katanya.

DNB ialah syarikat tujuan khas yang ditugaskan untuk menyediakan rangkaian 5G di seluruh negara, dan kemudian akses borong kepada syarikat telekomunikasi.

Antara perkara yang perlu diteliti adalah penyertaan bumiputera dalam projek itu menelan perbelanjaan RM30 bilion itu dan model operasi DNB turut didakwa sebagai monopoli, dan ia harus dipecahkan. – Malaysiapost

Komen