‘Minta bubar Umno, mana bukti Zahid?’ – Soal Tun M

‘Minta bubar Umno, mana bukti Zahid?’ – Soal Tun M

TUN Dr Mahathir Mohamad mencabar Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk mengemukakan bukti berhubung dakwaannya mengatakan bekas Perdana Menteri itu memintanya untuk membubarkan Umno.

Menurut Ahli Parlimen Langkawi itu, Ahmad Zahid yang juga Presiden Umno sentiasa ‘membuka’ bermacam-macam cerita termasuk berkait dengan dirinya namun tiada sebarang bukti didedahkan.

“Apa bukti dia, yang (mengatakan) saya kata macam itu (memintanya untuk membubarkan Umno), dia boleh cerita macam-macam, (tetapi) benda kita (yang) bercakap (itu perlu) ditunjuk bukti (mengapa) kita bercakap macam itu,” katanya seperti dilapor Astro Awani.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas pertemuan bersama pengusaha-pengusaha feri Langkawi di sebuah hotel di Kuah, Langkawi semalam.

Selasa lalu, Ahmad Zahid memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa Dr Mahathir memintanya membubarkan Umno kerana parti tersebut tiada masa depan dan tidak boleh dipercayai.

Menurutnya, semasa pertemuan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada Jun 2018 itu, Dr Mahathir juga memintanya memaklumkan kepada semua ahli Umno supaya menyertai Bersatu atas nama Melayu.

Bagaimanapun pada 9 November 2018, media melaporkan, Dr Mahathir memaklumkan beliau menyuruh Ahmad Zahid membubarkan Umno kerana parti itu sudah tiada.

Dr Mahathir yang ketika itu merupakan Pengerusi Bersatu, berkata Umno ketika itu hanyalah badan berdaftar yang tidak lagi memperjuangkan kepentingan bangsa, agama dan negara. – Malaysiapost

Komen