Operasi besar-besaran selepas berakhirnya Program Rekalibrasi Pulang – Hamzah Zainudin

Operasi besar-besaran selepas berakhirnya Program Rekalibrasi Pulang – Hamzah Zainudin

KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) akan melancarkan operasi besar-besaran susulan tamatnya tempoh Program Rekalibrasi Pulang pendatang asing tanpa izin (PATI) yang tamat tengah malam ini.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata program yang bermula sejak November 2020 itu akan berakhir selepas jam 12 tengah malam ini.

“Semua yang telah mendaftar dalam program ini dikehendaki pulang ke negara masing-masing sebelum jam 12 tengah malam ini.

“Saya nak maklumkan kepada semua majikan, sesiapa sahaja yang mengambil mereka yang tiada dokumen yang sah mengikut pendaftaran yang dikeluarkan oleh Imigresen selepas ini akan dikenakan tindakan,” katanya dalam sidang media di Bukit Aman, hari ini.

Menurutnya, KDN melalui semua agensinya akan melakukan operasi besar-besaran untuk memastikan hanya warga asing yang benar-benar mahu duduk di Malaysia untuk mencari pekerjaan dan sebagainya dengan cara yang sah sahaja berada di negara ini.

“Mereka hanya ada sehingga jam 12 tengah malam ini dan jika masih tidak sempat pulang ke negara asal ia adalah satu kesalahan.

“Ini kerana mereka sudah tahu dan diberikan tempoh yang mencukupi untuk pulang,” katanya. – Malaysiapost

Komen