Pemimpin MIC persoal pendedahan Tajuddin ditegur

Pemimpin MIC persoal pendedahan Tajuddin ditegur

TINDAKAN Ketua Penerangan MIC, R Thinalan meminta penjelasan mengenai pendedahan bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berhubung akuan bersumpah (SD) menyokong Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim Sebagai Perdana Menteri , ditegur pemimpin Umno.

Ahli MKT Umno Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, berkata isu dibangkitkan itu adalah cerita lama iaitu pada tahun 2020 dan sehingga kini Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu masih tidak menjadi Perdana Menteri.

” Adei! Apa pasai (pasal) mahu bising lagi? Ini cerita 2020. Tahun 2021, Bila PM 8 (Perdana Menteri kelapan) jatuh, Anwar tak jadi pun PM 9. Ini ‘real test’.

“Lepas tu, PKR dan DAP teruk kena hantam di Melaka dan Johor. Taktik, strategi siapa betul?” soalnya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Beliau mempersoalkan kenyataan Thinalan semalam, yang meminta Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tampil memberi penjelasan terhadap segala pendedahan Tajuddin.

Shabery berkata, apa yang berlaku ketika itu turut memberi manfaat kepada MIC di mana calon parti komponen BN itu dapat menjadi calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN).

“MIC pun dapat jadi calon. Menang. Dapat pula jadi Exco.

“Orang Umno tetap ikut cakap Presiden. Presiden suruh beri kerusi sama MIC dan sokong semua calon MIC . Bukan senang tahu. Lebih lagi ada cerita orang MIC tak suka Presiden Umno. Mahu masuk PN (Perikatan Nasional)” katanya lagi.

Beliau berkata, ada cerita disebalik semua yang berlaku dan akan ada yang terkesan dengan perkara itu.

“Ada luka ada cerita. Buka cerita, buka luka.

“Mahu tangkap buaya kena pakai umpan ayam. Beri makan ayam bukan sebab sayang itu buaya. Buaya pun tak tahu harga ayam tengah mahal. Tapi yang penting buaya ditangkap. Sungai pun aman. Ada faham?” katanya.

Thinalan dalam kenyataannya berkata, pendedahan Tajuddin sudah mencetuskan pelbagai spekulasi di peringkat akar umbi, di mana penyokong tegar sendiri mula mempersoalkan integriti dan keikhlasan kepimpinan Umno dan BN.

Menurutnya, kecelaruan pendirian dan hala tuju kepimpinan Umno dan BN bagai menafikan aspirasi dan keyakinan anak-anak muda terhadap konsep dan muafakat BN, dan seterusnya menggugat semangat serta persiapan jentera BN menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 )PRU-15). – Malaysiapost

Komen