Perbanyak karya filem angkat tokoh pejuang kemerdekaan – PAS

Perbanyak karya filem angkat tokoh pejuang kemerdekaan – PAS

DEWAN Ulamak PAS menyarankan penerbit filem tempatan memperbanyakkan lagi karya filem yang mengangkat tokoh-tokoh pejuang kemerdekaan tanah air.

Ketuanya Datuk Ahmad Yahaya, berkata sambutan hangat masyarakat terhadap filem ‘Mat Kilau’ arahan Syamsul Yusof merupakan satu tanda aras karya sebegini masih mendapat tempat di hati masyarakat.

Menurutnya, ini kerana karya filem mempunyai pengaruh dan tarikan yang kuat serta mampu mencorakkan tingkah laku dan emosi masyarakat.

“Karya filem amat berguna dalam menyampaikan mesej tertentu kepada orang ramai. Dengan mengangkat tokoh pahlawan kemerdekaan ini di layar perak secara tidak langsung menyemai semangat jati diri dalam masyarakat pada hari ini.

“Malah, tarikan kekuatan ilmu agama yang diadun bersama semangat mempertahankan negara adalah elemen penting yang ditonjolkan melalui tokoh-tokoh berkenaan,” katanya.

Justeru, beliau berkata, Dewan Ulamak PAS mengharapkan agar filem ‘Mat Kilau’ menjadi katalis kepada perkembangan karya-karya filem yang memaparkan tema pejuang kemerdekaan negara pada era moden ini.

“Watak tokoh-tokoh pejuang kemerdekaan antara lain seperti Haji Abdul Rahman Limbong, Tok Janggut, Datuk Maharaja Lela Pandak Lam dan sebagainya.

“Peranan Mat Kilau bersama dengan para ulamak seangkatan seharusnya dijadikan landasan positif bahawa perjuangan membebaskan umat adalah cetusan ulamak sehingga semangat menentang penjajah menjadi teras utama sebelum disambut kelompok lain,” katanya.

Malah, katanya, pihaknya yakin bahawa karya filem mengangkat tokoh perjuangan dan sejarah kebangsaan ini dapat memberikan mesej yang baik kepada masyarakat serta wajar mendapat sokongan semua pihak.

“Sudah sampai masanya negara dan rakyat mengangkat golongan pejuang ini sesuai dengan semangat menjelang sambutan Hari Kemerdekaan kelak,” katanya. – Malaysiapost

Komen