Presiden parti politik dalang sindiket penipuan diberkas – Hamzah Zainudin

Presiden parti politik dalang sindiket penipuan diberkas – Hamzah Zainudin

SEORANG presiden parti politik di Sabah ditahan kerana disyaki mendalangi sindiket penipuan kad keistimewaan kepada individu tiada kewarganegaraan dan dihadapkan ke mahkamah di Shah Alam, hari ini.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata turut ditahan seorang lagi suspek yang juga ahli sindiket penipuan berkenaan dan mereka di Subang Jaya pada 22 Jun lalu.

Beliau mendedahkan mendapat maklumat dan aduan daripada individu di luar negara mengenai sindiket berkenaan dan kemudian mengarahkan Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani untuk menjalankan siasatan.

Menurutnya, sindiket berkenaan memperdaya mangsa dengan mengatakan kononnya sesiapa yang memegang kad itu boleh mendapat pelbagai manfaat seperti perkhidmatan hospital, pendidikan dan boleh diberikan kad pengenalan warganegara.

“Apabila saya mendapat maklumat daripada seorang bukan warganegara di luar negara, saya dan Ketua Polis Negara mengarahkan siasatan dijalankan oleh pasukan Unit khas yang akhirnya berjaya menahan suspek.

“Pagi ini saya dimaklumkan dua orang yang ditahan dikenali sebagai Mohd Arshad dan Mohd Amka. Kedua-dua suspek ini ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya dalam sidang media di Bukit Aman, hari ini.

Hamzah berkata, suspek utama iaitu Mohd Arshad Abdul adalah Presiden Parti Perpaduan Rakyat Sabah (PPRS) yang ditubuhkan pada 2017.

“Beliau dipercayai menggunakan parti untuk mendapat kepentingan diri sendiri dengan melakukan perkara-perkara tidak diingini ini,” katanya.

Menurutnya, buat masa ini kerajaan Malaysia tidak pernah mengarahkan mana-mana pihak untuk mengeluarkan kad keistimewaan sedemikian sama ada di Sabah atau di Semenanjung.

“Untuk menjadi penduduk Malaysia, hanya ada empat kad pengenalan iaitu kad pengenalan warna biru untuk warganegara Malaysia dab kad pengenalan merah untuk mereka yang diberikan taraf penduduk tetap.

“Kad pengenalan hijau untuk bukan warga negara yang bekerja dan kad pengenalan warna coklat bagi mereka yang dihukum dengan kesalahan jenayah yang besar.

“Hanya empat kad pengenalan ini sahaja yang ‘laku’ dalam negara kita, jadi kepada mereka yang tidak mempunyai taraf kerakyatan jangan mudah percaya dan kerajaan sedang melihat bagaimana untuk menentukan sama ada boleh diberi dokumen pengenalan diri, tetapi bukan dengan kad dikeluarkan oleh mana-mana sindiket,” katanya.

Beliau berkata, bagaimanapun di Sabah terdapat dokumen sementara contohnya dokumen secara bertulis yang dikeluarkan oleh Imigresen namun tidak bermakna mereka sudah berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Menjelaskan lebih lanjut mengenai sindiket penipuan itu, beliau berkata ia dipercayai sudah beroperasi berbulan-bulan dan mungkin tahun dengan membabitkan ratusan atau ribuan mangsa.

“Saya difahamkan mereka ini telah menggunakan macam-macama cara dan akhirnya mengenakan bayaran untuk mendapatkan kad berkenaan,” katanya. – Malaysiapost

Komen