Pulau Batu Puteh: Puad tawar diri saman Dr Mahathir RM3 bilion

Pulau Batu Puteh: Puad tawar diri saman Dr Mahathir RM3 bilion

AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menawarkan diri untuk mengambil tindakan saman terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad susulan isu kehilangan Pulau Batu Puteh.

Mohd Puad, berkata sebagai pengajaran Dr Mahathir wajar disaman sehingga RM3 bilion iaitu jumlah yang dirasakan bersesuaian dengan pengkhianatan yang dilakukan bekas Perdana Menteri itu.

“Kita tidak lagi boleh berbuat apa apa. Tempoh merayu sudah tamat. Sebagai pengajaran kekal, Tun M mesti disaman dan bayar ganti rugi. RM3 Bilion paling sesuai. Baru padan.

“Justeru, saya tawar diri untuk saman Tun M. Ini soal maruah kerana dia jual kedaulatan Johor dan negara,” katanya menerusi Fecabook.

Mohd Puad berkata, beliau senada dengan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang mendesak tindakan undang-undang diambil ke atas pengkhianat yang menyebabkan negara kehilangan Pulau Batu Puteh selama lamanya.

“Siapakah pengkhianat itu? Walaupun tidak sebut nama, semua tahu Tun Dr Mahathir adalah individu yang bertanggungjawab,” katanya.

Speaker DUN Johor itu berkata, ramai tidak mengetahui pada 2 Febuari 2017 bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali menghantar surat ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) bagi memohon semakan kehakiman Pulau Batu Puteh.

“ICJ tetapkan 11 Jun 2018 tarikh pendengaran. Tetapi pada 14 Mei 2018 (empat hari selepas PH memerintah) Apandi Ali dipaksa bercuti (force leave) dan tempat beliau dipangku oleh Peguamcara Negara (Solicitor General).

“Pada 28 Mei 2018 (18 hari Tun M jadi PM) Peguamcara Negara hantar surat kepada ICJ tarik balik permohonan semakan kehakiman. Ia tarikh hitam negara,” katanya.

Beliau berkata, perkara itu dirahsiakan Dr Mahathir dan hanya diketahui rakyat apabila tempoh merayu tamat.

“Rupanya Tun M telah batalkan permohonan semakan kehakiman. Apakah Kabinet tahu. Apa muslihat Tun M?

“Terkini, Tun M tetap angkuh. Dia enggan hadiri siasatan Pasukan Petugas Khas Pulau Batu Puteh. Dia pengkhianat dan penjenayah. Tubuh segera RCI Pulau Batu Puteh,” katanya.

Baru-baru ini, Kerajaan Johor mahu tindakan undang-undang diambil ke atas pengkhianat yang menyebabkan negara kehilangan hak dan kedaulatan terhadap Batu Puteh atau Pedra Branca.

Onn Hafiz berkata, meskipun ada yang beranggapan Batu Puteh tiada kepentingan ekonomi yang signifikan namun tidak boleh dinafikan kepentingannya dari sudut kedudukan strategik maritim.

Katanya kehilangan Batu Puteh memberi kesan negatif kepada rakyat terutamanya nelayan yang mengeluh kerana sumber pendapatan mereka terjejas. – Malaysiapost

Komen