Pulau Batu Puteh: Tun M nafi lewat bantah pelantikan Apandi

Pulau Batu Puteh: Tun M nafi lewat bantah pelantikan Apandi

TUN Dr Mahathir Mohamad menafikan beliau membuat bantahan saat akhir berhubung pelantikan Tan Sri Mohamed Apandi Ali sebagai Pengerusi Pasukan Petugas Khas (PPK) berhubung siasatan kes Pulau Batu Puteh.

Dr Mahathir, berkata beliau sudah menghantar surat bantahan bertarikh 23 Mei 2022 lalu kerana mendakwa pelantikan Mohamed Apandi akan menyebabkan wujud konflik berkepentingan dalam siasatan PPK terbabit.

“Saya hanya dimaklumkan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang di Jabatan Perdana Menteri secara bertulis tentang Jawatankuasa Kecil Tort of Misfeasance itu ditubuhkan di bawah PPK Semakan Undang-Undang Kes Kedaulatan Batu Puteh melalui surat bertarikh 19 Mei 2022.

“Melalui surat tersebut, saya diminta menghadiri sesi temubual pada tarikh yang ditetapkan oleh Jawatankuasa tersebut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Justeru, Dr Mahathir berkata, kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar mengenai perkara itu adalah tidak tepat dan mengelirukan.

Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, kenyataan Wan Junaidi itu juga seolah-menggambarkan beliau tidak memberikan kerjasama kepada PPK dalam sesi temubual berkenaan.

“Batahan pelantikan Mohamed Apandi itu dibuat memandangkan ada konflik berkepentingan setelah perkhidmatannya (Apandi) tidak lagi dilanjutkan saya pada masa saya menjadi Perdana Menteri Ketujuh.

“Tambahan dari itu, dalam isu Pulau Batu Puteh, Apandi telah secara terbuka mengkritik keputusan Kerajaan Pakatan Harapan dan saya sebagai Perdana Menteri kerana mengambil keputusan tidak merayu keputusan ICJ,” katanya.

Jelas Dr Mahathir lagi, Mohamed Apandi merupakan pengadu kepada kes itu dan melantiknya mengetuai badan terbabit adalah bertentangan dengan ‘rule of law’ dan ‘natural justice’ yang menyatakan secara jelas ‘no man shall be the Judge of his own cause’.

“Tentunya Menteri Undang-Undang dan Mohamed Apandi khususnya faham soal kedudukannya jika dia benar orang yang terpelajar dalam hal perundangan dan ‘rule of law’.

“Dia ini mantan Hakim Mahkamah Persekutuan dan mantan Peguam Negara. Tan Sri Mohamed Apandi Ali seharusnya kekal sebagai petitioner/pengadu atau meminta atau diminta menjadi saksi,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Mahathir berkata, bantahannya tidak dihiraukan sebaliknya beliau diminta hadir untuk sesi temubual yang dijadualkan semula pada 28 Jun 2022.

“Di mana Jawatankuasa memaklumkan penemubual yang dilantik adalah Datuk Dr Baljit Singh Sidhu danDatuk Tengku Ahmad Fuad Tengku Ahmad Burhanuddin.

“Sekali lagi secara bertulis pada 21 Jun 2022, saya memohon ketetapan berkenaan kedudukan Mohamed Apandi kerana beliau sewajarnya menjadi saksi atau individu yang dipanggil untuk ditemubual.

“Di masa yang sama saya juga membantah kedudukan penemubual Baljit Singh yang merupakan peguam kepada Mohamed Apandi di dalam kes beliau menyaman Kerajaan Malaysia dan saya berkaitan penamatan jawatan beliau sebagai Peguam Negara,” katanya.

Dr Mahthir berkata, bantahan-bantahan yang dibuat beliau itu selepas menerima nasihat perundangan dari peguam serta memelihara haknya menurut undang-undang.

“Tidak timbul isu bantahan pada saat akhir. Sebaliknya, bantahan saya ini tidak pernah dijawab sehingga semalam dan alasan yang diberikan oleh Menteri Undang-Undang kononnya saya lewat membangkitkan bantahan.

“Tidakkah Menteri Undang-Undang dimaklum mengenai bantahan-bantahan awal saya?,” soalnya.

Dr Mahathir mengulangi pendiriannya sedia memberikan kerjasama untuk apa-apa prosiding atau temubual jika jawatankuasa itu terdiri dari individu tidak berkepentingan.

“Ini hak saya menurut undang-undang. Saya berasa lebih kecewa bila ada Menteri Undang-Undang yang masih tidak faham asas undang-undang, lebih-lebih lagi dalam isu membabitkan kedaulatan Negara,” katanya.

Semalam, Dr Wan Junaidi, berkata beliau kecewa dengan tindakan Dr Mahathir enggan bekerjasama dalam siasatan menyemak isu dan tindakan perundangan berhubung kes Pulau Batu Puteh selagi Mohamed Apandi menjadi Pengerusi PPK. – Malaysiapost

Komen