Puteri Sarah saman pihak ketiga ganggu rumah tangga

Puteri Sarah saman pihak ketiga ganggu rumah tangga

PELAKON Puteri Sarah Liyana yang juga isteri kepada Syamsul Yusuf, pengarah filem Mat Kilau yang sedang menjadi fenomena ketika ini, memulakan tindakan undang-undang terhadap pihak ketiga yang didakwa mengganggu rumah tangganya.

Sarah atau nama sebenarnya Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin, 36, mengambil dua tindakan iaitu saman dan juga membuat aduan di jabatan agama.

Menurutnya, selepas empat tahun mendiamkan diri berhubung gangguan yang diterima daripada pihak ketiga berkenaan, dia kini sedia memperjuangkan haknya sebagai wanita dan isteri selain mempertahankan rumah tangganya.

“Tujuan kenapa Sarah buat ini adalah satu untuk maruah Sarah yang dah tercalar yang selama ini saya diamkan.

“Sebenarnya perkara ini tidak akan berpanjangan seperti ini, kalau Sarah tidak diganggu oleh pihak ketiga yang mencabar Sarah, untuk Sarah ambil segera tindakan saman,” katanya yang sudah memfailkan saman pada 24 Jun lalu.

Beliau ditemui pemberita di perkarangan pejabat Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di Shah Alam hari ini, selepas membuat aduan berhubung gangguan yang dialami.

Menurut Sarah, selama ini dia memang ada niat untuk ambil tindakan, tetapi masih berfikir lagi tentang kesan terhadap diri, rumah tangga dan keluarganya.

“Lepas balik mengerjakan umrah, Sarah nampak jalan apa yang nak buat dan Sarah buat untuk diri serta keluarga. Sampai bila Sarah nak kena pijak macam ini.

“Selepas ini sesiapa yang nak ‘menyondol’ itu mungkin perlu berhati-hati. Sarah buat macam ini sebab untuk mempertahankan perkahwinan dan juga memperjuangkan hak serta maruah Sarah,” katanya.

Menurutnya, tindakan yang diambilnya mendapat sokongan keluarga termasuk ibu bapa mentuanya, namun dia enggan memberi komen mengenai hubungannya dengan Syamsul.

“Tapi saya tegaskan apa yang dilakukan ini adalah bagi mempertahankan perkahwinan kami dan juga memperjuangkan hak-hak wanita..hak saya.

“Sebagai isteri, apabila ada orang ketiga kacau kita sering dipijak dan hanya menangis. Tidak lagi..dah penat, saya akan pertahankan hak saya dan anak-anak,” katanya.

Sarah melalui peguamnya megemukakan permohonan secara interim di mahkamah sivil dan telah mendapatkan satu perintah injunksi pada 24 Jun lalu.

Perintah itu sudah diserahkan kepada pihak defendan pada tarikh sama, meminta supaya pihak ketiga berkenaan berhenti membuat sebarang bentuk gangguan termasuk di media sosial dan kes itu akan didengar di mahkamah pada 4 Julai ini.

Selain daripada injunksi untuk defendan berhenti daripada mengganggu, Sarah turut meminta permohonan maaf selain ganti rugi terhadap apa yang dialaminya.

Sementara itu, untuk tindakan di mahkamah syariah pula, Sarah membuat aduan di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) pada 24 Jun lalu dan hari ini di JAIS pula kerana perkara berkaitan syariah ini di bawah undang-undang negeri.

Sebelum ini media melaporkan khabar angin mendakwa Syamsul bakal berkahwin dengan wanita dikenali sebagai Ira Kazar yang juga anak kepada pelakon Kazaruddin Saisi. – Malaysiapost

Komen