Sindiket kitar semula minyak enjin menjadi diesel ditumpaskan

Sindiket kitar semula minyak enjin menjadi diesel ditumpaskan

SINDIKET kitar semula minyak enjin terpakai menjadi diesel berjaya ditumpaskan dengan membabitkan rampasan bernilai RM7.3 juta dalam serbuan dan tangkapan di sebuah kilang di Kampung Jeram Batu, Pekan Nanas, Pontian, kelmarin.

Rampasan terbesar di Johor itu hasil serbuan operasi bersepadu membabitkan Cawangan Perisikan dan Siasatan Khas (CPSK), Pasukan Gerakan Khas, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua dan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian.

Pemangku Ketua Polis Johor Senior Asisten Komisioner Jalaludin Hamid, berkata dalam serbuan kira-kira jam 5.30 petang itu, lima suspek termasuk pemilik kilang berusia 48 tahun ditahan.

Pemangku Ketua Polis Johor Senior Asisten Komisioner Jalaludin Hamid

Menurutnya, tangkapan membabitkan seorang warga tempatan serta tiga pekerja asing iaitu dua Bangladesh dan seorang Indonesia berusia 26 hingga 49 tahun.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati sindiket berkenaan beroperasi sejak lebih enam bulan lalu dengan membeli minyak enjin terpakai daripada bengkel serta kilang sekitar Johor.

“Minyak enjin terpakai itu dibeli daripada bengkel dan kilang dengan harga RM0.30 sen setiap liter sebelum dikumpul dan diproses. Apabila selesai diproses ia akan menjadi minyak diesel.

“Minyak diesel yang siap diproses kemudian dijual kepada industri di sekitar negeri ini, Kuala Lumpur dan Lembah Klang pada harga RM1.80 seliter iaitu lebih murah daripada harga pasaran.

“Bagaimanapun, minyak diesel itu tidak dijual kepada pengguna kenderaan kerana kualitinya rendah dan hanya digunakan pemilik industri,” katanya pada sidang media Ops Bersepadu Kontraban di Batu 24 1/2 , Jalan Kampung Jeram Batu, Pekan Nenas, hari ini.

Diantara barang yang dirampas semasa serbuan dibuat

Menurutnya, sebanyak 128,888 liter minyak enjin terpakai turut dirampas dengan nilai rampasan keseluruhan membabitkan RM7.32 juta

“Turut dirampas adalah lebih 757 tong simpanan berisi minyak, asid sulfur dan kosong, selain 11 penyedut minyak serta pelbagai jenis tangki dan beberapa buah lori.

“Kesemua suspek tidak mempunyai rekod lampau dengan pemilik kilang dan pekerja tempatan sudah dilepaskan selepas keterangan mereka dirakamkan polis dan Jabatan Alam Sekitar (JAS),” katanya.

Beliau berkata, tiga pekerja asing direman 14 hari sejak kelmarin dan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63.

Menurutnya, kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 34(B)(1)(A) dan Seksyen 19(A) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974. – Malaysiapost

Komen