Suspek pecah rumah, ‘skodeng’ dicekup

Suspek pecah rumah, ‘skodeng’ dicekup

SEORANG lelaki yang dipercayai terbabit dalam beberapa kejadian pecah rumah, curi dalam bangunan, curi motosikal dan mengintai ditahan di kawasan tepi jalan Seksyen 4, Petaling Jaya pada Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid, berkata suspek ditahan selepas didapati dalam keadaan mencurigakan ketika berada di kawasan berkenaan.

Beliau berkata, pada 22 Jun lalu pihaknya menerima satu laporan polis daripada seorang wanita berusia 35 tahun yang mendakwa rumahnya di Seksyen 14 Petaling Jaya di pecah masuk dan beberapa barangan hilang termasuk telefon bimbit dan set kosmetik.

“Bertindak atas maklumat pada 27 Jun lalu, kira-kira jam 2 petang sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya telah menahan seorang lelaki tempatan berusia 32 tahun di kawasan tepi jalan di Seksyen 4, yang berada dalam keadaan mencurigakan.

“Hasil pemeriksaan lanjut ke atas suspek menemui pelbagai barangan yang disyaki hasil kegiatan pecah rumah termasuk wang tunai, kotak perhiasan, kasut, pelbagai barangan elektronik dan perhiasan emas,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, kesemua barangan berkenaan dirampas termasuk motosikal dinaiki suspek yang dilaporkan hilang di kawasan Petaling Jaya.

“Hasil soal siasat, suspek mendedahkan penglibatan dalam kegiatan jenayah lain dan penangkapannya telah menyelesaikan dua kes pecah rumah (Seksyen 457 Kanun Keseksaan), dua kes curi dalam bangunan (Seksyen 380 Kanun Keseksaan), satu kes curi motosikal (Seksyen 379A Kanun Keseksaan) dan satu kes mengintai (Seksyen 509 Kanun Keseksaan / Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955) di daerah Petaling Jaya.

“Semakan rekod jenayah lampau mendapati suspek mempunyai tiga rekod jenayah membabitkan kes penyalahgunaan dadah dan jenayah,” katanya.

Beliau berkata, suspek kini direman selama tujuh hari sehingga 5 Julai ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan. – Malaysiapost

Komen