‘Tidak salah lompat parti’: Shamsul Anuar bidas Rosol

‘Tidak salah lompat parti’: Shamsul Anuar bidas Rosol

AHLI Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah, menyelar kenyataan Datuk Rosol Wahid yang mendakwa tindakan lompat parti tidak melanggar amalan sistem demokrasi di negara ini.

Shamsul Anuar berkata, hakikatnya mereka yang melompat parti itu adalah pengkhianat mandat rakyat kerana kemenangan yang diraih adalah atas tiket parti yang diwakili ketika bertanding pilihan raya.

“Mereka yang bertindak melompat parti sebenarnya telah mengkhianati mandat rakyat.

“Hormati dan peganglah amanah yang rakyat beri. Kalau rakyat mengundi kita sebagai calon Barisan Nasional (BN)/Umno.

“Kenapa kita lompat ke parti lain?Kenapa kita khianat mandat yang rakyat beri?,” katanya menerusi Facebook.

Semalam, Rosol yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, mendakwa mana-mana Ahli Parlimen tidak mempunyai sebarang halangan untuk melompat parti dan bebas untuk menyertai parti lain memandangkan ianya tidak melanggar amalan sistem demokrasi di negara ini.

Rosol yang juga bekas bekas Setiausaha Badan Perhubungan Umno Terengganu berkata, tindakan untuk melompat parti atau beralih arah juga berkemungkinan didorong perasaan tidak puas hati terhadap tindakan di dalam parti yang diwakili ketika ini.

Jelasnya, tindakan sedemikian juga merupakan hak untuk mana-mana Ahli Parlimen berdasarkan apa yang dirasakan terbaik buat mereka.

Pada 14 Disember 2018, media melaporkan, Rosol yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu mengumumkan menyertai Bersatu selepas dua jam keluar daripada Umno.

Beliau berkata, keputusannya menyertai Bersatu dibuat selepas mengambil kira kebajikan dan keperluan rakyat di Parlimen Hulu Terengganu yang memerlukan pembelaan. – Malaysiapost

Komen