Tun M sedia pertahankan kerusi Langkawi

Tun M sedia pertahankan kerusi Langkawi

TUN Dr Mahathir Mohamad bersedia mempertahankan kerusi Parlimen Langkawi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) sekiranya tiada calon lain yang sesuai untuk bertanding di kawasan berkenaan.

Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu berkata, setakat ini sudah ada beberapa nama calon untuk dipertaruhkan di kawasan itu, namun ia terlalu awal untuk didedahkan kepada umum.

Menurutnya, sekiranya calon berkenaan masih didapati tidak sesuai dan tidak mahu bertanding di Parlimen itu, beliau sedia kembali bertanding.

“Kita ada calon tetapi waktu ini kita tidak (boleh) beritahu lagi, kalau tak ada apa pun (perkembangan berkenaan calon sesuai hingga ke saat akhir), (dan jika) ada orang cadang saya (untuk bertanding di Langkawi), saya akan pertimbangkan.

“Kalau sudah tak ada orang (yang sesuai), (saya mungkin bertanding mempertahankan kerusi ini),” katanya seperti dilaporkan Astro Awani.

Beliau berkata demikian kepada media selepas pertemuan bersama pengusaha-pengusaha feri Langkawi di sebuah hotel di Kuah, di sini, semalam.

Dalam perkembangan sama, Dr Mahathir berkata, kempen untuk memperkenalkan Pejuang kepada orang ramai berada pada tahap yang baik termasuk telah melakukan jelajah ke seluruh negara.

Namun, dakwanya, akibat tidak mendapat liputan meluas daripada kalangan media berikutan Pejuang merupakan parti pembangkang, banyak pihak masih belum mengenali secara terperinci mengenai parti itu.

“Kita sudah lawat semua negeri, sampai ke Sabah kita pergi, tetapi tidak ada laporan. Kita (sebenarnya) ada orang (ahli parti), (lebih) banyak daripada orang Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) dahulu.

“Mereka sekarang ini sudah tidak sokong Bersatu, mereka sokong Pejuang,” jelasnya lagi.

Awal Mac lalu, Dr Mahathir mengesahkan bahawa beliau tidak akan bertanding di mana-mana kerusi Parlimen termasuk Langkawi dalam PRU-15.

Menurutnya, ia bagi memberi peluang kepada calon yang sesuai dan lebih muda untuk terlibat di arena politik serta pilihan raya selain faktor kesihatannya yang belum pulih sepenuhnya.

Sementara itu, Presiden Pejuang Datuk Seri Mukhriz Mahathir mengakui lebih selesa untuk bertanding dalam PRU-15 sebagai calon di Parlimen Jerlun berbanding Parlimen Langkawi. – Malaysiapost

Komen