Wanita dicekup berkhalwat ketika suami bekerja

Wanita dicekup berkhalwat ketika suami bekerja

SEORANG wanita berstatus isteri orang dicekup berkhalwat dengan pasangannya dalam sebuah bilik sewa di sebuah kampung di Kulim Kedah, awal pagi tadi.

Wanita berusia 35 tahun yang mempunyai empat anak itu membawa lelaki berkenaan masuk ke bilik tersebut ketika suaminya keluar bekerja kira-kira jam 1.40 pagi.

Pegawai Penguatkuasa Agama Daerah Kulim, Anwar Sharifuddin Mat Saat berkata ketika kejadian, suami wanita itu dipercayai keluar bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah kilang tayar di daerah itu.

Beliau berkata, ketika pemeriksaan dilakukan, terdapat tiga kanak-kanak disyaki anak wanita itu dipercayai sedang tidur.

“Pihak kami menerima maklumat berhubung kejadian itu berdasarkan maklumat awam dan melakukan pemeriksaan di bilik sewa yang didiami wanita berkenaan.

“Bagaimanapun, pemeriksaan mendapati, pasangan itu bukan suami isteri atau mahram malah mereka gagal menunjukkan sebarang dokumen mereka mempunyai hubungan,” katanya seperti dilapor Harian Metro.

Anwar Shariffudin berkata, hasil siasatan mendapati, pasangan itu dipercayai berkenalan di sebuah kedai makan di daerah itu kira-kira enam bulan lalu.

Beliau berkata, wanita yang berasal dari Kulim itu bekerja sebagai tukang cuci, manakala lelaki yang berasal dari Pendang itu pula bekerja sebagai pemandu jengkaut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 25(a) (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014 kerana disyaki berkhalwat.

“Sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Menurut Anwar Shariffudin, pasangan itu kemudian dibawa ke balai polis berhampiran untuk dibuat laporan tangkapan – Malaysiapost

Gambar sekadar hiasan

Komen