Zahid gesa bubar MPN kerana gagal

Zahid gesa bubar MPN kerana gagal

PRESIDEN Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mencadangkan kerajaan membubarkan Majlis Pemulihan Negara (MPN) kerana mendakwa badan itu gagal dalam menjalankan fungsi sebenar penubuhannya.

Ahmad Zahid, berkata ia juga sejajar dengan penubuhan Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi bagi mengelak pecanggahan dengan usaha-usaha terkini kerajaan untuk menangani masalah rakyat.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, kerajaan perlu sedar bahawa dengan penubuhan Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi itu, MPN yang dipengerusikan Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak lagi berkesan dan perlu.

“Penubuhan Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi yang dianggotai beberapa Menteri merupakan langkah baik, sejajar dengan saranan saya untuk menangani masalah inflasi, kos sara hidup dan sekuriti makanan dengan lebih tersusun melalui kerjasama rentas Kementerian.

“Sebenarnya, kewujudan Majlis Pemulihan Negara dari awalnya lagi tidak membuahkan hasil dan berfungsi hanya sebagai penasihat kepada Kerajaan sahaja,” katanya menerusi Facebook.

Ahmad Zahdi berkata, fungsi MPN sebenarnya boleh dan sedang dilakukan oleh badan-badan pemikir berkaliber seperti Khazanah Research Institute (KRI) yang selama berperanan memberi nasihat serta syor kepada kerajaan.

Jelasnya lagi, MPN dilihat hanyalah satu platform untuk memberikan Muhyiddin peluang menaikkan imej diri sendiri serta parti beliau, selain tidak semestinya bersuara bagi pihak rakyat dan kepentingan negara.

“MPN sudah gagal. Sudah tiba masanya kerajaan membubarkan sahaja majlis ini dan memberikan kelapangan kepada kementerian dan menteri daripada melayan dan menghadiri mesyuarat majlis yang tidak berkesan ini,” katanya.

Justeru, Ahmad Zahid menasihati Muhyiddin untuk menggunakan platform lain untuk menyumbang idea dan saranan sebagai Mantan Perdana Menteri.

“(Ia termasuk) seperti menerusi Yayasan Kemimpinan Perdana bersama-sama Tun Dr Mahathir. Itu lebih elok,” katanya.

Pada 4 September lalu, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali mengumumkan pelantikan Muhyiddin sebagai Pengerusi MPN bertaraf Menteri.

Pelantikan dibuat atas dasar keyakinan kerajaan terhadap kemampuan Muhyiddin menerajui strategi pemulihan negara, demi mencapai impak ekonomi terbaik dan memulihkan semula kehidupan rakyat yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19. – Malaysiapost

Komen