64% kematian nahas jalan raya libat penunggang motosikal

64% kematian nahas jalan raya libat penunggang motosikal

LEBIH separuh, iaitu 64 peratus daripada jumlah kes kematian akibat kemalangan jalan raya di Malaysia dalam tempoh setahun adalah melibatkan pengguna motosikal.

Sehubungan itu Menteri Pengangkutan berkata aspek keselamatan membabitkan pengguna motosikal menjadi keutamaan ke arah mencapai sasaran pengurangan 50 peratus kadar kematian jalan raya menjelang tahun 2030.

“Oleh yang demikian, kita menjalankan kajian secara serius untuk meningkatkan penggunaan teknologi keselamatan kenderaan dan mengekalkan rantaian bekalan pengeluaran.

“Kita telah melihat kesan yang sangat positif daripada Program Penilaian Kenderaan Baharu ASEAN (NCAP) terhadap pengeluar kenderaan dalam memastikan kenderaan lebih selamat di jalan raya Malaysia.

“Kita juga sedang berusaha mewajibkan Sistem Brek Anti-Kunci atau ABS dipasang pada semua model motosikal baharu dengan 150cc dan ke atas, dalam tempoh dua tahun akan datang,” kata Datuk Seri Dr Wee Ka Siong menerusi hantaran di Facebooknya.

Beliau sebelum itu berucap sebagai ahli panel pada Mesyuarat Peringkat Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Mengenai Keselamatan Jalan Raya Global di New York.

Dalam ucapannya, Ka Siong berkata semua pihak perlu memberi perhatian serius kepada sembilan cadangan dikemukakan pakar-pakar Sweden iaitu, ‘Academic Expert Group of the Swedish Transport Administration’.

Ia berhubung laporan peringkat tinggi mereka terutama aspek keselamatan kenderaan dan percambahan teknologi yang lebih selamat dalam pembuatan kenderaan serta reka bentuk infrastruktur.

Tambahnya, ia juga sebahagian usaha Malaysia untuk menangani kes kemalangan yang tinggi membabitkan motosikal sehingga menyebabkan kecederaan dan kematian.

Sementara itu Ka Siong memaklumkan banyak lagi usaha lain sedang dijalankan seiring Pelan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (PKJRM) 2022-2030, dibangunkan Kementerian Pengangkutan dan disokong oleh pelbagai pihak berkepentingan.

“Ia juga selaras dengan komitmen kita di bawah Dekad Tindakan Keselamatan Jalan Raya Ke-2 PBB 2021 – 2030 dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 2030.

“Kerajaan Persekutuan, dengan kerjasama kerajaan negeri, pemain industri, badan bukan kerajaan dan rakan-rakan berkaitan keselamatan jalan raya yang lain, bekerja secara kolektif untuk memastikan aspek keselamatan jalan raya menjadi keutamaan dalam kehidupan seharian kita,” katanya. – Malaysiapost

Komen