Andai kisah Prebet Adam difilemkan seperti Mat Kilau

Andai kisah Prebet Adam difilemkan seperti Mat Kilau

SAYA mengikuti dengan dekat kejayaan filem Mat Kilau yang kini meletup-letup di pawagam seluruh negara.

Sudah tentu, selain daripada pulangan dari segi komersil, ia secara tidak langsung mengangkat keperwiraan dan keberanian Mat Kilau itu sendiri khususnya di mata anak-anak muda kita.

Ia menjulang kembali sejarah yang semakin terpinggir dan dilupakan.

Sesungguhnya negara kita tersimpan banyak sejarah dan kisah yang boleh diangkat ke layar perak daripada hanya menceritakan kisah hero bermotorsikal besar yang cintanya tidak kesampaian, kisah kekecewaan si dara kerana hendak dikahwinkan dengan kenalan bisnes papanya dan perebutan harta serta kekayaan pemilik Megah Holdings yang berbilion itu.

Salah satu subjek yang boleh diangkat untuk dijadikan filem adalah kisah benar kejadian amuk di Kuala Lumpur yang terjadi lebih 30 tahun lalu.

Lebih tepat lagi, kisah amuk Prebet Adam Bin Jaafar…seorang anggota tentera yang melarikan diri dari kemnya dengan membawa senjata dan sejumlah besar peluru kerana tertekan setelah mengalami penderaan yang sungguh dahsyat oleh anggota seniornya.

Kisah Adam perlu diangkat kerana kejadian amuk itu bukan hanya berakhir di situ, tetapi pelbagai konflik dan polemik lain yang timbul selepas itu hingga mengheret nama Yang Dipertuan Agong ke dalam peristiwa yang mencatatkan noktah hitam dalam sejarah negara sehingga kini.

Ini kerana, dengan tidak semena-mena, terdapat ‘plot twist’ dalam kejadian tersebut apabila dikatakan amukan itu terjadi disebabkan Adam ingin menuntut bela di atas kematian adiknya yang kononnya dipukul hingga mati oleh Tuanku di sebuah padang golf.

Bayangkan, cerita ini tiba-tiba bertukar 360 darjah daripada cerita asal hingga ia terus-terusan diperkatakan dan paling malang sekali, majoriti masyarakat kita percaya terhadap fitnah tersebut sampai sekarang!

Disebabkan fitnah itu, Adam yang pada mulanya ditukar hukumannya daripada hukuman gantung kepada ditahan di hospital mental di Tanjung Rambutan, hidup dalam keadaan terbuang selepas dibebaskan, terjerumus dalam penagihan dadah hingga dijangkiti kuman HIV, keluar masuk penjara sebelum menghembuskan nafasnya yang terakhir tahun lalu.

Begitu juga dengan Almarhum Sultan Iskandar yang bertahun selepas kemangkatannya pun, masih diceritakan tentang cerita pembunuhan yang sebetulnya tidak pernah terjadi dan dilakukan oleh baginda!

Kisah Prebet Adam ini wajar difilemkan kerana ia boleh membersihkan nama dua insan yang tidak bersalah dan difitnah sejak sekian lama.

Antara perkara menarik yang boleh diangkat dalam filem ini adalah kisah kehidupan dan latarbelakang Adam sendiri.

Kisah bagaimana anak daripada keluarga miskin ini yang bercita-cita untuk mempertahankan kedaulatan negaranya dengan menyertai pasukan tentera.

Namun segala impian itu musnah dek perbuatan anggota seniornya.

Begitu juga bagaimana percintaan Adam terhadap seorang gadis kampung yang musnah di tengah jalan setelah berlakunya peristiwa tragis tersebut.

Paling mendebarkan adalah sewaktu kejadian amuk itu sendiri di mana Adam telah melepaskan tembakan rambang di Jalan Chow Kit hingga menyebabkan seorang pejalan kaki terbunuh, membakar sebuah stesen minyak, menyusup dan menghilangkan diri ala komando dengan menggunakan longkang dan parit sebelum bersembunyi di sebuah bangunan yang dikenali sebagai Wisma Sabaruddin di Jalan Raja Alang, Chow Kit.

Bangunan itu masih ada sampai sekarang.

Tak kurang mencemaskan adalah bagaimana peristiwa amuk tersebut nyaris-nyaris mencetuskan konflik dan ketegangan antara pasukan tentera dan polis.

Ini kerana di saat pihak polis mengambil keputusan untuk menembak Adam, pihak tentera pula mahu mengambil pendekatan untuk memujuk Adam supaya menyerah diri.

Ini menyebabkan berlaku perang mulut di antara antara pegawai kanan kedua-dua pasukan sebelum akhirnya keputusan dicapai agar satu usaha pujukan dibuat dengan seorang pegawai kanan tentera berpangkat Brigedier Jeneral diminta untuk mengetuai rundingan agar Adam menyerah diri.

Begitu juga drama yang berlaku sewaktu kes Adam dibicarakan di mahkamah. Kedua-dua pihak baik pendakwaraya mahupun peguambela bertegang urat, saling bertikam lidah ketika penghujahan.

Ini belum dicampur kisah politik negara ketika itu yang sedang tegang kerana terdapat usaha mengurangkan kuasa Raja-Raja Melayu, kisah tegang sewaktu Adam di hospital mental, percanggahan maklumat antara doktor dan pakar sakit jiwa, kisah kemelaratan hidup Adam sewaktu dibebaskan dan banyak lagi ‘ramuan’ sekiranya kisah ini difilemkan.

Saya berani bercakap mengenai kisah ini kerana saya menulis buku mengenai kisah Adam, sempat menemubual dan menyelami perasaannya sebelum dia meninggal dunia, membuat penyelidikan lebih setahun mengenai kejadian berkenaan termasuk menemubual mereka yang terlibat secara langsung dalam tragedi berdarah tersebut.

Dan jika ada yang bertanya, siapa agaknya pelakon yang saya fikirkan paling layak membawa watak Adam dan watak Almarhum Sultan Iskandar, di dalam kepala saya hanya dua nama.

Pelakon muda yang sangat berbakat iaitu Amerul Affendi untuk watak Prebet Adam dan Datuk Ahmad Tarmimi Siregar untuk watak Almarhum Sultan Iskandar.

Selain mempunyai iras wajah Adam ketika muda, Amerul adalah pelakon serba boleh yang saya anggap paling ‘underrated’ di Malaysia.

Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-27 pada 2015 itu baru-baru ini menunjukkan bakat lakonannya yang cukup hebat dalam filem Prebet Sapu hingga melayakkan filem itu dipilih oleh Finas untuk mewakili Malaysia bagi kategori Filem Cetera Antarabangsa Terbaik di Anugerah Akademi (Oscars) ke-94, luar biasa!

Ahmad Tarmimi jangan ceritalah. Beliau mendapat pelbagai anugerah seperti Pelakon Terbaik Teater Kuala Lumpur (1970), Pelakon Pembantu TV Terbaik- Anugerah Seri Angkasa (1976), Fellowship Japan Foundation, Tokyo (1979), Pelakon Pembantu Popular Berita Harian (1987), Pengarah Terbaik Anugerah Seri Angkasa (1992), Personaliti Popular Anugerah Seri Angkasa (1995), Fellowship Asian Cultural Centre, New York (1996) dan banyak lagi kalau nak diperincikan.

Apapun semua yang saya tulis ini hanyalah impian, lebih tepat adalah harapan saya.

Yang pasti, kedua-dua insan ini iaitu Adam dan Sultan Iskandar telah pun kembali kepada PenciptaNya.

Namun sebagai umatNya, kita bertanggungjawab untuk menggali dan menyatakan kebenaran walaupun ia mengambil masa untuk ditegakkan.

Semoga Allah mengampuni dan merahmati roh kedua-duanya.

Wallahualam.

“Kebenaran Mungkin Tertangguh, Namun Tak Mungkin Mati!”

Syahril A Kadir
Penulis adalah wartawan yang mempunyai pengalaman lebih 20 tahun dalam bidang kewartawanan jenayah dan juga penulis buku best-seller Konfesi Prebet Adam

(Artikel ini dipetik sepenuhnya dari Garasi TV)

Kredit Foto: Syahril A Kadir

Kunjungi bahagian Hiburan untuk baca cerita yang terkini dan menarik

Komen