CADANGAN merobohkan Stadium Shah Alam sedangkan ia hanya perlu dibaiki pada bahagian bumbungnya yang rosak disifatkan tidak berbaloi.
Perkara itu dibangkitkan Kumpulan Otai Reformis yang berkata, beberapa fasiliti di stadium yang dibuka secara rasmi pada 1994 itu perlu dinaik taraf selain membaiki bumbungnya yang rosak teruk.
Setiausahanya, Abdul Razak Ismail berkata pihaknya berpandangan tiada keperluan menggantikan Stadium Shah Alam memandangkan struktur asalnya masih boleh digunakan, dan cuma perlu dinaik taraf.
“Yang rosak bumbung sahaja, kenapa nak roboh stadium? Cukup naik taraf baiki kerosakan tertentu sahaja,” katanya memetik laporan FMT, hari ini.
Menjelaskan mengenainya, Abdul Razak berkata, pihaknya membantah sebarang usaha merobohkan stadium itu dan menggantikannya dengan arena lebih kecil.
Menurutnya, pembinaan stadium baharu oleh kerajaan Selangor memerlukan perbelanjaan besar, sedangkan lebih baik dana itu disalurkan kepada mangsa banjir negeri itu termasuk di kawasan Sri Muda yang masih memerlukan bantuan.
Abdul Razak menambah, tindakan meroboh stadium yang pernah dinobat sebagai terbesar di Asia Tenggara dan menjadi stadium rasmi bagi pasukan bola sepak Red Giants itu akan mendatangkan kemarahan rakyat yang sedang susah ketika ini.
“Jumlah RM1,000 yang diberikan kepada mangsa banjir masih tidak mencukupi jika dibandingkan kerosakan harta benda mereka mencecah puluhan dan ratusan ribu ringgit,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan terdapat cadangan merobohkan Stadium Shah Alam berkeluasan kira-kira 155,000 meter itu diganti dengab stadium baharu yang berkapasiti 30,000 hingga 40,000 penonton supaya mudah dijaga dan diselenggara.
Sementara itu, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pembangunan semula Kompleks Sukan Stadium Shah Alam di Seksyen 13 akan dilaksanakan berdasarkan hasil penilaian jawatankuasa khas.
Katanya, pembangunan semula itu juga akan membabitkan Stadium Malawati sebelum tindakan selanjutnya diumumkan tidak lama lagi.
“Keputusan pembangunan semula Stadium Shah Alam (di Seksyen 13), di sini akan diumumkan dalam masa terdekat,” jelasnya. – Malaysiapost