Hans Isaac menang ketua cabang PKR Ampang
PELAKON, pengarah dan penerbit terkenal, Datuk Hans Isaac, menang dalam persaingannya untuk merebut jawatan ketua cabang PKR Ampang.
Berdasarkan keputusan di laman sesawang Pemilihan PKR 2022, Hans atau nama sebenarnya Gerald Hans Isaac, 50, berjaya memperolehi 748 undi.
Hans turut berkongsi berita gembira itu menerusi hantaran di Insta Storynya.
“Dengan berbesar hati untuk mengumumkan bahawa ia adalah rasmi,” katanya ringkas.
Mengiringi perkongsian itu, pelakon filem Baik Punya Cilok itu memuat naik tanda pagar #KetuaCabangAmpang.
Hans menewaskan seorang lagi selebriti, Altimet atau nama sebenarnya Syed Ahmad Syed Abdul Rahman, 43, yang menyaksikan penyanyi rap itu ketinggalan hanya dua undi apabila meraih 746 undi.
Tiga lagi pesaing iaitu Abdullah Md Zain memperolehi 101 undi, Sam Hoo Wai (70 undi) dan Abdul Latif Shaari meraih 10 undi, manakala Abdul Halim Mohamed Yusof menarik diri dalam pemilihan semula peringkat cabang tersebut.
Pada 29 Mei lalu, Daing Muhammad Reduan Bachok menang dalam pertembungan enam penjuru bagi jawatan itu menentang Hans dan empat calon lain.
Daing ketika itu menerima undian tertinggi dengan 942 undi, manakala Hans dan Altimet masing-masing memperoleh 609 undi dan 589 undi.
Bagaimanapun, Daing hilang kelayakan daripada pemilihan semula itu susulan dakwaan pelanggaran etika dalam pemilihan cabang berkenaan.
Susulan dakwaan terbabit, Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) PKR menubuhkan panel siasatan yang kemudiannya mendapati Daing Muhammad terbabit dalam kegiatan membeli undi.
Pada Pemilihan PKR 2018, jawatan Ketua Cabang Ampang dimenangi oleh Datuk Zuraida Kamaruddin. – Malaysiapost