Indonesia sumber baharu bekalan ayam Singapura 

Indonesia sumber baharu bekalan ayam Singapura 

SUSULAN larangan eksport ayam dari Malaysia sejak 1 Jun lalu, Singapura kini beralih kepada Indonesia untuk mendapatkan bekalan ayam. 

Agensi Makanan Singapura (SFA) berkata, Indonesia telah disahkan sebagai sumber baru ayam beku, ayam dingin dan ayam proses bagi negara tersebut. 

SFA menambah ayam yang disahkan dari pihak Indonesia kini boleh diimport. 

Sumber sedia ada di Singapura termasuk Brazil, Thailand dan Australia. 

Menteri Kemampanan dan Sekitaran, Grace Fu berkata menambah Indonesia kepada senarai 20 negara yang mengeksport ayam ke Singapura adalah satu lagi langkah diambil bagi mempelbagaikan dan memperkukuh bekalan makanan. 

“Bekalan global akan diteruskan untuk menghadapi ketindaktentuan dan kita harus secara psikologi bersedia bagi lebih banyak gangguan dan turun naik harga. 

“Sementara pemerintah mengambil perancangan jangka panjang dan tindakan proaktif bagi melindungi bekalan makanan Singapura, pelanggan dan industri makanan juga mempunyai peranan penting untuk dimainkan,” katanya, lapor Berita Harian Singapura. 

Pengumuman bahawa Singapura mempunyai satu lagi sumber ayam hadir ketika larangan eksport ayam dari Malaysia yang bermula pada 1 Jun masih lagi berkuatkuasa. 

Eksport ayam terhenti agar harga dan bekalan boleh dimantapkan dahulu di Malaysia. 

Walaupun Malaysia sejak pengumuman itu membenarkan eksport ayam kampung dan hitam, daging ayam yang lebih dimampui dan biasanya membentuk sebahagian besar import ayam Singapura dari Malaysia masih dilarang. 

Menurut SFA, 34 peratus bekalan ayam dari Singapura datang dari Malaysia, kebanyakan ayam yang diimport adalah ayam hidup yang kemudian disembelih di negara jiran itu. – Malaysiapost

Komen