KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan isu berkaitan krisis kekurangan pegawai perubatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan Hospital Tunku Azizah (HTA) tidak berbangkit.
KKM dalam kenyataan berkata, ia merujuk kepada surat daripada HKL yang tular berkaitan kekurangan pegawai perubatan di kedua-dua hospital itu, berikutan pertukaran keluar pegawai perubatan dari HKL bermula 18 Julai ini.
“Selaras dengan pertukaran keluar pegawai perubatan dari HKL dan HTA pada 18 Julai 2022, KKM juga merancang pertukaran masuk pegawai perubatan dari negeri lain ke HKL dan HTA pada tarikh yang sama bagi menggantikan pegawai perubatan yang bertukar keluar,” menurut kenyataan itu.
Dalam pada itu, KKM berkata urusan pertukaran keluar pegawai perubatan dari HKL adalah prosedur biasa bagi melaksanakan arahan dan memproses permohonan pertukaran pegawai dari semasa ke semasa.
“Untuk makluman, surat yang dikeluarkan oleh pengurusan HKL itu bertujuan melaksanakan penyelarasan dalaman bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kesihatan khususnya di Jabatan Kecemasan HTA terus berjalan lancar,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan HKL dan HTA, bakal berdepan dengan isu kekurangan pegawai perubatan yang kritikal bermula bulan depan.
Perkara itu disahkan seorang pegawai perubatan HKL yang enggan namanya didedahkan, memaklumkan krisis itu berlaku apabila hampir 100 pegawai perubatan junior daripada semua bahagian akan berpindah ke negeri lain mulai 18 Julai ini.
Menurut sumber, krisis itu amat membimbangkan berikutan jumlah kakitangan sedia ada di hospital itu memang tidak mencukupi, di samping berlaku peningkatan jumlah pesakit ketika ini.
Akibat krisis itu, katanya, pihak pengurusan HKL mengeluarkan surat semalam untuk mengadakan pertemuan dengan pegawai perubatan bidang pengurusan hari ini bagi membincangkan langkah penyelesaian isu berkenaan. – Malaysiapost