Isu Pemilihan: Umno tak boleh sewenang ubah keputusan

GESAAN meminta Umno segera mengadakan pemilihan parti sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bercanggah dengan keputusan dua Perhimpunan Agung Umno (PAU) termasuk PAU khas, kata Datuk Seri Ahmad Maslan.

Setiausaha Agung Umno itu, berkata kedua-dua PAU yang diadakan sebelum ini, sebulat suara bersetuju untuk pindaan perlembagaan parti dibuat bagi membolehkan pemilihan parti diadakan enam bulan selepas PRU15.

“Umno tidak boleh sewenang-wenangnya ubah keputusan kerana PAU pada Mac yang disusuli PAU khas Mei lalu buat ketetapan mengenai pindaan perlembagaan membabitkan pemilihan parti.

“Saya tidak tahu sama ada dia (Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz) hadir pada PAU atau tidak. Sebagai bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno dan bekas menteri, dia seharusnya memahami dan lebih mengetahui perjalanan perlembagaan sebuah parti.

“Tidak mungkin parti boleh buat keputusan sendiri dengan membelakangkan perlembagaan yang juga dasar tertinggi bagi sesebuah parti,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Terdahulu, Mohamed Nazri mengulangi pendiriannya bahawa proses pemilihan Umno perlu dilaksanakan sebelum berlangsungnya PRU15.

Beliau berpandangan masalah dalaman UMNO yang kini memiliki dua nakhoda, seorang Presiden parti dan seorang lagi pemimpin kanan UMNO dilantik sebagai Perdana Menteri, perlu diselesaikan sebelum pilihan raya.

Jun tahun lalu, Umno menangguhkan pemilihan parti itu di semua peringkat cawangan, bahagian dan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) selama 18 bulan.

Umno meminda perlembagaan pada PAU khas Mei lalu bagi membolehkan pemilihan parti diadakan enam bulan selepas PRU15. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights