Kekalkan kadar OPR, usah bebani rakyat yang sedang merana – Asyraf Wajdi
PEMUDA Umno mendesak institusi perbankan menangguhkan kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) sehingga harga barangan keperluan harian stabil.
Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata ramai yang ketika ini mengeluh apabila menerima surat daripada bank memaklumkan mengenai kenaikkan OPR yang sekali gus meningkatkan jumlah ansuran bulanan peminjam.
Beliau berkata, hakikatnya kadar kenaikan OPR itu pasti akan menjejaskan rakyat tidak kira sama ada yang bekerja swasta ataupun bergaji tetap seperti sektor kerajaan.
“Sudahlah barangan keperluan asas meningkat, pertambahan bayaran pinjaman bank pastinya mengurangkan kuasa beli rakyat akibat menipisnya wang di poket dan di tangan,” katanya menerusi Facebook.
Asyraf Wajdi berkata, memang tidak dinafikan dalam pendekatan ekonomi konvensional, salah satu cara untuk menurunkan inflasi adalah dengan menaikkan kadar faedah atau OPR.
“Dengan harapan kenaikan ini akan meningkatkan kemasukan pelaburan domestil dan asing (FDI dan DDI) kerana secara teorinya pelabur akan lebih berminat membeli pelbagai instrumen kewangan di pasaran kewangan yang menawarkan kadar faedah/keuntungan yang tingggi,” katanya.
Namun, Asyraf Wajdi berkata, persoalan sebenar dalam konteks situasi negara hari ini, apakah benar dengan menaikkan lagi OPR akan membawa manfaat kepada rakyat.
“Apakah benar ada kenaikan FDI secara mendadak selepas kenaikan OPR? Apakah ada pertambahan pembelian saham runcit di Bursa Malaysia atau peningkatan pembelian saham oleh pelabur asing atau KLSE Index telah meningkat mendadak sejak OPR dinaikkan?
“Apakah jumlah permohonan pinjaman dengan bank tempatan berkurang secara mendadak selepas OPR naik?
“Apakah jumlah deposit tetap (FD) di semua bank dalam negara meningkat secara mendadak selepas OPR naik?, soalnya.
Menurut Asyraf Wajdi, sebaliknya apa yang jelas ialah tiada peningkatan besar berlaku kerana hakikatnya pelbagai laporan ekonomi menunjukkan bahawa pelabur sebenarnya menantikan tarikh pilihan raya umum.
Jelasnya, pengumuman tarikh PRU itu penting bagi mendapatkan kepastian kerajaan yang mutlak dan dasar baharu pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
“Tangguhkan dahulu kenaikan bagi memastikan harga barangan keperluan harian lebih stabil.
“Jangan nanti kita menambah beban lagi rakyat dengan pendekatan ekonomi konvensional hingga masalah lain yang lebih besar seperti ‘stagflation’ pula tertimpa,” katanya.
Terdahulu, penganalisis ekonomi menjangkakan OPR yang menjadi penanda aras faedah pinjaman tempatan berpotensi untuk dinaikkan sekurang-kurangnya 25 mata asas lagi berikutan peningkatan berterusan kadar inflasi di Malaysia.
Ketua Ahli Ekonomi Juwai IQI Global, Shan Saeed berkata, kebanyakan bank pusat pasaran baharu muncul berdepan cabaran sukar berikutan pengukuhan dolar Amerika Syarikat (AS) memberi tekanan penyusutan kepada mata wang mereka, justeru bank pusat akan menggunakan pendekatan pengawalan bagi mengekang tekanan inflasi.
Beliau berpendapat, Bank Negara Malaysia (BNM) akan menggunakan langkah taktikal untuk menaikkan kadar bagi memberi isyarat kukuh kepada pasaran bahawa bank pusat tempatan itu mengawal pasaran kewangan. – Malaysiapost