MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur mengosongkan tarikh yang dijadualkan pada 7 Julai untuk keputusan kes rasuah terhadap Datin Seri Rosmah Mansor yang dikaitkan dengan projek tenaga hibrid solar bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.
Mahkamah sebaliknya menangguhkan sehingga 1 September untuk menyampaikan keputusan pembelaan terhadap isteri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak itu.
Peguam Rosmah, Datuk Akberdin Abdul Kader mengesahkan tarikh baharu itu ditetapkan semasa pengurusan kes pagi ini.
“Mahkamah menulis surat kepada kami untuk pengurusan kes hari ini. Tarikh keputusan seterusnya ialah 1 Sept 2022,” kata peguam itu memetik portal Malaysiakini.
Mengenai alasan penangguhan itu, Akberdin berkata tiada yang diberikan oleh pendaftar mahkamah.
Pada 27 Mei, Mahkamah Persekutuan menolak rayuan Rosmah untuk membatalkan keseluruhan kes rasuah solar berkenaan.
Rosmah pada 24 Jun di hadapan Mahkamah Tinggi, memfailkan permohonan baharu untuk mengketepikan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Gopal Sri Ram daripada mendakwa kesnya.
Beliau memohon pengisytiharan bahawa pelantikan Sri Ram sebagai timbalan pendakwa raya kanan, melalui tiga surat pelantikan bertarikh 8 Julai 2020, 11 Mei dan 21 Mei 2021, adalah menyalahi undang-undang.
Mahkamah sebelum ini menetapkan 7 Julai untuk menyampaikan keputusannya berhubung kes rasuah Rosmah yang berdepan dakwaan meminta suapan RM187.5 juta dan menerima RM6.5 juta daripada bekas pengarah urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin.
Rosmah didakwa menerima wang itu melalui pembantunya Rizal Mansor.
Suapan itu adalah berhubung peranan Rosmah yang didakwa membantu Jepak Holdings memenangi kontrak RM1.25 bilion untuk membekalkan elektrik ke sekolah luar bandar di Sarawak. – Malaysiapost