Langkah mundur PAS haramkan pawagam di Kelantan – Lip Eng

PENDIRIAN PAS untuk tidak menarik balik pengharaman pawagam di Kelantan disifatkan sebagai satu tindakan yang mundur.

Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng, berkata kerajaan PAS yang berkuasa di Kelantan wajar membenarkan pawagam dibuka semula di negeri itu memandangkan ia salah satu hiburan untuk keluarga.

“Keengganan kerajaan negeri untuk tidak membina pawagam dilihat sebagai langkah regresif dan mundur. Pawagam sudah sekian lamanya dilihat sebagai salah sebuah pusat hiburan keluarga.

“Malahan, masalah-masalah sosial yang serius dapat dihindari sekiranya orang ramai mempunyai akses untuk hiburan seperti ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ahli Parlimen DAP itu menjelaskan, kenyataan Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Abdullah bahawa rakyat negeri itu tidak memerlukan pawagam adalah dongeng.

“Baru-baru ini, kita sekali lagi disajikan dengan berita berkenaan keengganan Kerajaan PAS untuk membina panggung wayang gambar.

“Antara alasan-alasan yang sering diguna pakai mereka untuk tidak membina tempat-tempat tersebut adalah rakyat Kelantan tidak meminta pawagam dibina di negeri tersebut dan pawagam hanya mendorong orang ramai untuk melakukan masalah-masalah sosial.

“Satu lagi alasan dongeng bahawa ‘rakyat Kelantan tak perlu pawagam, boleh tengok Netflix’ yang diutarakan oleh PAS adalah amat memalukan kerajaan Kelantan.

“Ia seperti mengesyorkan tidak perlu adanya pusat beli belah kerana rakyat boleh melakukan perkara sedemikian melalui platform internet seperti Shopee, Lazada dan sebagainya,” katanya.

Semalam, Mohd Amar menegaskan, rakyat Kelantan masih mempunyai pilihan lain seperti menonton filem di saluran Netflix berikutan pengharaman pawagam di negeri itu masih lagi berkuat kuasa.

Baru-baru ini, larangan pawagam itu menimbulkan kontroversi sekali lagi selepas Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari menonton filem Mat Kilau di sebuah pawagam di Lembah Klang.

Kelantan mengharamkan pawagam dan kedai nombor ekor sejak PAS berkuasa di Kelantan pada 1990. Pada masa itu, kerajaan negeri diterajui Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Kerajaan Kelantan beberapa kali menegaskan tidak akan mengkaji semula larangan itu walaupun negeri-negeri yang dikuasai PAS seperti Kedah dan Terengganu tidak berbuat demikian. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights