Lelaki terbalikkan kenderaan JPJ guna jengkaut sudah ditahan 

Lelaki terbalikkan kenderaan JPJ guna jengkaut sudah ditahan 

PEMANDU jentolak yang melanggar pacuan empat roda milik Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) hingga terbalik menggunakan jengkaut di Kampung Magatang dekat Keningau semalam, sudah ditahan. 

Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintendan Nor Rafidah Kasim berkata lelaki berusia 60 tahun itu ditahan selepas pihaknya menerima laporan berhubung kejadian menghalang penjawat awam menjalankan tugas pada jam 6.32 petang. 

Menurutnya, individu tersebut turut menggunakan kekerasan jenayah bagi menakutkan penjawat awam daripada menjalankan kewajipannya. 

“Siasatan mendapati ketika menjalankan operasi harian, seorang anggota JPJ cawangan Keningau menahan dan membuat pemeriksaan ke atas kenderaan berat jenis backhoe yang mencurigakan. 

“Pemeriksaan mendapati terdapat kesalahan. Ketika saman hendak dikeluarkan, pemandu tersebut tidak berpuas hati dan marah lalu melanggar kenderaan JPJ mengakibatkan kerosakan,” katanya memetik Berita Harian. 

Nor Rafidah berkata, petugas bagaimanapun sempat menyelamatkan diri dan tidak melibatkan kecederaan. 

“Kejadian kemudian dimaklumkan kepada polis dan suspek ditahan di lokasi kejadian pada hari sama. 

“Polis turut merampas jengkaut yang digunakan ketika kejadian. Suspek warga tempatan dan rampasan dibawa ke IPD Keningau untuk siasatan lanjut,” katanya. 

Kes disiasat mengikut Seksyen 186 dan 353 Kanun Keseksaan antaranya kerana menghalang tugas penjawat awam serta Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat. 

Terdahulu, tular video berdurasi 51 saat memaparkan seorang lelaki melanggar kenderaan pacuan empat roda milik JPJ hingga terbalik menggunakan jengkaut yang dikendalinya. – Malaysiapost

Komen