‘Mana bantuan untuk M40 selepas subsidi ditarik?’- tanya Guan Eng

KERAJAAN tidak boleh mengkhianati tanggungjawab untuk membantu kumpulan M40 dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang turut terkesan akibat kenaikan kos sara hidup dan harga barang.

Pengerusi DAP Lim Guan Eng, berkata sehingga hari ini tiada bantuan diumumkan kerajaan membabitkan isi rumah M40 sedangkan kumpulan itu turut merasa tekanan sama seperti kelompok B40.

“Isi rumah B40 berpendapatan sehingga RM4,850 sebulan mendapat sedikit bantuan kewangan daripada kerajaan untuk mengatasi pemansuhan subsidi dengan RM100 setiap isi rumah dan RM 50 untuk bujang. Untuk M40, mereka tidak mendapat apa-apa.

“Kerajaan harus memberikan sedikit bantuan dengan mengambil kira bahawa seperti mereka yang dalam B40, ramai dalam M40 membelanjakan lebih daripada 25% daripada pendapatan boleh guna mereka untuk makanan,” katanya menerusi Facebook, hari ini.

Selain itu, Guan Eng berkata, pendapatan rakyat Malaysia kini turut ‘terhakis’ disebabkan kemerosotan mendadak nilai ringgit ke paras terendah dalam sejarah berbanding Dolar Singapura dan AS, iaitu dua daripada tiga rakan dagangan terbesar negara.

“Kemelesetan ekonomi dan pandemik Covid-19 sejak 2020 menyebabkan lebih 580,000 isi rumah M40 tergelincir kembali ke dalam kategori B40.

“PKS juga menghadapi masalah yang sama kerana tidak mendapat bantuan yang mencukupi daripada kerajaan untuk menampung kenaikan harga.

“Kos PKS ditambah lagi dengn kekurangan buruh yang teruk disebabkan oleh ketidakcekapan Menteri dan birokrasi kerajaan,” katanya.

Justeru, Guan Eng mempersoalkan mengapa kerjaaan perlu menambah kesusahan kepada PKS sedangkan kekurangan tenaga buruh yang teruk itu boleh diselesaikan dengan mudah dengan kuasa Menteri.

“Kerajaan Persekutuan tidak boleh mengkhianati tanggungjawab mereka untuk membantu kedua-dua M40 dan PKS,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights