Masih ada peniaga jual ayam tak ikut harga siling

Masih ada peniaga jual ayam tak ikut harga siling

Najamuddin Mohd Nor

DI SEBALIK penetapan RM9.40 harga siling ayam, tinjauan Malaysiapost hari ini mendapati masih ada peniaga menjual melebihi harga berkenaan.

Rata-rata peniaga yang tidak mematuhi harga siling merupakan peniaga kecil atau peniaga kedai runcit, terpaksa menjual harga sekilogram ayam sekitar RM10.70 hingga RM11.

Masing-masing memberi alasan orang tengah atau pembekal ayam masih mengenakan harga tinggi kepada peniaga, memaksa mereka menjual melepasi harga siling baharu ditetapkan kerajaan.

Malah ada peniaga runcit terpaksa mencari pembekal ayam lain sebagai cara untuk mendapatkan harga bekalan murah sekali gus mematuhi arahan kerajaan.

Mohammad Ali Abdullah, 42, pemilik kedai runcit di Seksyen 8, Kota Damansara berkata masalah dihadapi ialah harga ayam yang berbeza daripada pembekal.

“Untuk mengatasi masalah ini dan mematuhi arahan kerajaan, saya sendiri terpaksa membelinya daripada dua pembekal ayam. Kita terpaksa cari yang rendah harganya.

“Itu pun saya terpaksa jual RM9.60 sekilogram. Kalau jual RM9.40 memang tidak dapat menampung kos beli, kos upah pekerja.

“Tapi kalau pembeli beli lebih daripada seekor ayam, saya jual dengan harga RM9.40 sekilogram,” katanya kepada Malaysiapost, hari ini.

Bagaimanapun, tinjauan harga ayam di pasar raya dan pasar raya mini mendapati ia dijual mengikut harga siling ditetapkan kerajaan.

Pekerja di Pasar Raya Mini Suria, Seksyen 7, Kota Damansara dikenali sebagai Bob memberitahu, harga ayam di situ dijual mengikut harga siling ditetapkan kerajaan iaitu RM9.40 sekilogram.

“Bekalan ayam tiada masalah, masih ada untung jual harga RM9.40 sekilo. Sebenarnya daripada semalam lagi kami dah jual harga macam ini,” katanya.

Kelmarin, mesyuarat Jemaah Menteri mengambil keputusan untuk tidak mengapung harga ayam, sebaliknya meneruskan subsidi dan menetapkan harga siling runcit ayam standard pada RM9.40 sekilogram bagi Semenanjung Malaysia mulai 1 Julai ini.

Kerajaan sebelum ini menetapkan harga siling ayam pada RM8.90 sekilogram sebelum harga itu yang kemudian diputuskan untuk diapungkan mulai 1 Julai ini.

Bagaimanapun, kerajaan membatalkan rancangan membiarkan harga ayam diapung dan mengumumkan RM9.40 harga siling baharu. – Malaysiapost

Komen