Najib nafi minta Anwar gugurkan kes

Najib nafi minta Anwar gugurkan kes

DATUK Seri Najib Razak menafikan beliau pernah meminta Datuk Seri Anwar Ibrahim menggugurkan kes mahkamah dihadapinya jika mahu sokongan menjadi Perdana Menteri.

“Langsung tak benar apa Nuar (Anwar) kata. Saya tak pernah minta sesiapa untuk gugurkan kes saya melalui pengaruh politik.

“Saya adalah orang parti dan saya akan sentiasa taat kepada keputusan parti,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Tambah Ahli Parlimen Pekan itu, beliau pelik jika apa yang dikatakan Anwar adalah benar bahawa Presiden PKR itu ada sokongan 120 Ahli Parlimen, kenapa pula Istana Negara tidak melantiknya sebagai Perdana Menteri.

“Dan kenapa dia buktikan sokongan ini melalui undian dalam Parlimen – termasuk dengan cara menggagalkan undian bajet 2021 ketika itu?,” katanya lagi.

Semalam, Anwar mendakwa keengganannya membatalkan kes mahkamah membabitkan pemimpin Umno termasuk Najib menyebabkan beliau tidak dipilih sebagai pemimpin negara, meskipun sudah mempunyai bilangan Akuan Bersumpah (SD) mencukupi.

Anwar berkata, pendedahan bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman bahawa wujud SD dalam kalangan Ahli Parlimen Umno yang menyokongnya cukup jelas untuk menjawab tohmahan dilemparkan terhadapnya sebelum ini. – Malaysiapost

Komen