PRU15 mungkin September atau Oktober – Asyraf Wajdi

PILIHAN Raya Umum Ke-15 (PRU15) mungkin diadakan seawal-awalnya dalam tempoh dua bulan dari sekarang dengan jangkaan sama ada September atau Oktober.

Jangkaan itu disuarakan Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berdasarkan keperluan segera untuk mengembalikan mandat kepada rakyat dalam usaha menstabilkan kerajaan.

Beliau berkata, PRU15 tidak mungkin diadakan pada November atau Disember memandangkan ketika itu musim tengkujuh yang mungkin menyebabkan rakyat sukar keluar jika pilihan raya.

Katanya, jika dilambatkan rakyat akan bertambah tertekan disebabkan masalah kenaikan harga dan pelbagai isu ekonomi berikutan kesukaran mengatasinya di bawah kerajaan yang tidak stabil.

“PRU15 boleh berlaku pada bila-bila masa. Kalau ada pihak mahu melambatkan PRU, paling lama pun 11 bulan saja lagi kerana sehingga Julai tahun depan kalau belum bubar lagi, ia akan bubar dengan sendiri. Jadi, kurang daripada 12 bulan mesti PRU.

“Dalam jangkaan saya PRU boleh berlaku seawal dua bulan saja lagi kerana hari ini kerajaan tidak boleh kekal stabil, negara tidak boleh mengelak inflasi dan harga barang naik,” katanya memetik Berita Harian.

Beliau berkata demikian pada pelancaran Jentera Pemuda Barisan Nasional (BN) dan Sukarelawan Skuad Sabil Putatan, di Sabah hari ini.

Yang turut hadir Ketua Bahagian Umno Putatan, Jeffrey Nor Mohammad dan Ketua Pemuda Umno Putatan, Mohd Reduan Aklee.

Asyraf berkata, kenaikan harga seperti ayam di seluruh negara terutama di Sabah yang harganya lebih tinggi berbanding Semenanjung dikaitkan dengan harga dedak yang tinggi berikutan harga importnya naik.

Beliau turut menyentuh mengenai kenaikan kadar faedah bank yang katanya satu tindakan yang silap kerana menyebabkan rakyat yang terbeban berikutan kenaikan harga barangan tambah tertekan dengan peningkatan kadar bayaran balik pinjaman perumahan atau peribadi.

“Menaikkan kadar faedah mungkin untuk mengelak orang ramai meminjam tetapi ia adalah tindakan yang silap. Rakyat akan tambah menderita kerana kadar bayaran balik pinjaman peribadi, perumahan yang sedia ada akan naik jika faedah dinaikkan.

“Cara sewajarnya untuk kita pulihkan keadaan ialah kita perlukan pelabur masuk ke negara kita, buka kilang tetapi mereka takut masuk sekarang sebab takut kerajaan berubah lagi.

“Bayangkan dalam tiga tahun tiga kerajaan dan tiga Perdana Menteri. Apa jaminan agar tidak berlaku pula perubahan Perdana Menteri kali keempat.

“Sebab itu Pemuda Umno berpendirian kita kena serah mandat kepada rakyat. PRU mesti disegerakan tetapi jentera kita kena siap sedia dari sekarang,” katanya.

Sementara itu, Asyraf berkata Putatan menjadi lokasi pertama pelancaran jentera Pemuda BN di Sabah sejajar misi untuk menawan semula Parlimen Putatan daripada Pakatan Harapan (PH).

Kerusi Parlimen berkenaan pernah menjadi kubu kuat BN tetapi jatuh ke tangan PKR pada PRU 2018.

Asyraf bersama beberapa lagi pemimpin Umno dan BN dari seluruh negara berada di Sabah sempena Konvensyen BN Sabah yang berlangsung esok di Pusat Komersial dan Teknologi Antarabangsa (ITCC) Penampang. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights