AHLI Majlis Kerja Tertinggi Umno, Datuk Mohd Puad Zarkashi mengesyorkan agar penerbit filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan, menerbitkan pula filem berkisar mengenai Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.
Mohd Puad menyindir Tajuddin susulan pendedahan bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno itu yang mendakwa beliau ‘saksi hidup’ wujud akuan bersumpah (SD) daripada ahli Parlimen Umno untuk menyokong Datul Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri.
“Diharap penerbit filem pecah panggung “Mat Kilau” akan buat pula filem baru “Pasir Salak Saksi Hidup”.
“Sudah pasti filem itu bukannya pecah panggung, tetapi panggung yang pecah,” tulisnya sinis di Facebooknya.
Baru-baru ini, Tajuddin berkata beliau adalah saksi hidup yang pada awalnya menolak cadangan pucuk pimpinan parti itu.
“Jajaran baru… saya saksi hidup, tak usah nafi memang ada SD ditandatangan hendak sokong Anwar jadi Perdana Menteri, dan ada surat dihantar pada istana,” katanya. – Malaysiapost