Tiada syarikat di Malaysia dapat lesen import, jual air zam-zam

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) memaklumkan tiada pengedar atau syarikat di negara ini yang telah mendapat lesen bagi pengimportan dan penjualan air zam zam.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata ia berikutan terdapat penjualan air zam-zam secara dalam talian yang mendapat liputan media tempatan, baru-baru ini.

“Pemakluman berkaitan kesalahan penjualan air zam zam ini telah diuar-uarkan kepada orang ramai sejak tahun 2015 lagi dan telah pun terdapat beberapa kenyataan akhbar yang dikeluarkan oleh Ketua Pengarah Kesihatan.

“Air zam zam dikategorikan sebagai air mineral semulajadi dan termaktub di bawah Peraturan 360A, Peraturan-Peraturan Makanan 1985. Pengimportan air mineral semulajadi memerlukan lesen punca air KKM setelah mendapat dokumen pengesahan pihak berkuasa geologi dan hidrologi dari negara pengeksport,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, sehubungan itu kerajaan Arab Saudi tidak mengeluarkan pengesahan tersebut kerana air zam zam tidak boleh dieksport dan diperdagangkan.

Katanya, tindakan penolakan konsainan akan dilaksanakan sekiranya terdapat pengimportan air zam zam yang tidak berlesen

“Justeru itu, air zam zam yang diiklan atau dijual di pasaran diragui ketulenannya.

“KKM menasihati orang ramai agar tidak membeli air zam zam dari mana-mana kedai atau platform dalam talian (online) terutama pada musim haji ini kerana dikhuatiri ianya air zam zam tiruan,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights