SEMUA peniaga ayam perlu mempamerkan papan tanda jika mereka mengenakan kos tambahan bagi perkhidmatan ‘memotong’ ayam kepada pelanggan.
Walaupun tindakan peniaga mengambil upah untuk ‘memotong’ ayam kepada pelanggan tidak menyalahi peraturan ditetapkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), tetapi pelanggan mempunyai hak jika tidak mahu menggunakan perkhidmatan ditawarkan.
Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Pahang Muhamad Radzi Johari, berkata pihaknya hanya boleh mengambil tindakan terhadap peniaga yang tidak memaparkan tanda harga berkaitan khidmat ‘potong’ ayam disediakan di gerai mereka.
“Kalau ada papan tanda atau mempamerkan mengenai upah ‘potong’ ayam di premis, tidak ada masalah.
“Pelanggan perlu tahu dan diberi pilihan, kalau nak beli ayam yang sudah siap ‘potong’ harganya lain, kalau tak ‘potong’ harganya lain,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas melakukan pemeriksaan dan pemantauan sempena penentuan harga maksimum ayam dan telur ayam (PHMATA) di sebuah pasar raya di Kuantan, petang tadi.
Istilah ‘potong’ merujuk kepada harga ayam diproses dan dijual tanpa kepala dan kaki.
Mengulas mengenai usaha KPDNHEP Pahang bagi memastikan bekalan ayam dan minyak masak mencukupi, Muhamad Radzi berkata, seramai 127 pegawai dan anggota penguatkuasa dibantu 97 pegawai pemantau harga sentiasa melakukan pemeriksaan di seluruh Pahang setiap hari.
“Bagi tujuan ini, kita melancarkan Ops Anti Sorok untuk memberi tumpuan khusus kepada peniaga atau pembekal yang tidak amanah.
“Tujuan operasi ini adalah bagi memastikan bekalan semua bahan keperluan seperti ayam, telur ayam dan minyak masak sentiasa mencukupi dan tidak berlaku penyelewengan,” katanya.
Beliau memaklumkan, sebanyak 278,616 kilogram (kg) stok minyak masak sawit tulen berbotol dan 123,753 kg stok minyak masak dalam peket (1kg) berada di pasaran di Pahang.
Katanya, jumlah itu mencukupi dan mampu memenuhi keperluan pengguna di negeri ini.
“Secara umumnya, boleh saya maklumkan bahawa bekalan semua bahan keperluan di Pahang adalah stabil dan tidak ada laporan mengenai kekurangan bekalan direkodkan pihak kami setakat hari ini,” katanya. – Malaysiapost