Wujudkan badan pemantau bebas bagi pelaksaaan projek 5G – Pemuda Umno

PEMUDA Umno berpendirian masih ada ruangan serta penambahbaikan yang perlu diberi perhatian oleh kerajaan berkenaan model pelaksanaan, aspek tadbir urus, ketelusan dan integriti pelaksanaan liputan 5G di Malaysia.

Exco Pemuda Umno, Fairuz Jamaludin, berkata kerajaan perlu mewujudkan badan pemantau bebas yang bersih dan telus untuk memantau perancangan keseluruhan serta setiap fasa pelaksanaan 5G oleh Digital Nasional Berhad (DNB).

Katanya, fokus badan pemantau bebas itu termasuk proses bidaan; perolehan; pemilihan vendor dan pelantikan kontraktor; mekanisme penentuan harga dan pengurusan kewangan; perundangan dan lain-lain aspek teknikal berkaitan.

“Badan pemantau bebas ini juga bertanggungjawab untuk memantau petunjuk prestasi utama (key performance indicators, KPIs) DNB,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Fairuz yang juga Pengerusi Jawatankuasa Isu Projek 5G dan DNB berkata pihaknya juga mengesyorkan agar badan pemantau bebas itu menyediakan laporan secara berkala kepada kerajaan, Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen dan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).

“Keanggotaannya juga termasuklah wakil daripada agensi penguatkuasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” ujarnya.

Beliau berkata, Pemuda Umno percaya melalui peranan yang akan dimainkan oleh badan pemantau bebas itu bagi memastikan wujudnya aspek ‘semak dan imbang’ serta ‘pemisahan kuasa’ yang jelas untuk memastikan ketelusan serta akauntabiliti DNB sebagai entiti pelaksana.

“Aspek semak dan imbang serta pemisahan kuasa ini penting memandangkan DNB dan SKMM kini berada di bawah tanggungjawab dan kawal selia kementerian yang sama iaitu K-KOMM,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights