Zahida gesa SPRM siasat Mas Ermieyati, Tok Pa

Zahida gesa SPRM siasat Mas Ermieyati, Tok Pa

KETUA Puteri Umno, Datuk Zahida Zarik Khan menggesa Suruhan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat bekas Ahli Parlimen Umno yang lompat parti termasuk Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

Zahida berkata, sekiranya semua bekas Ahli Parlimen Umno itu berada di pihak benar, mereka seharusnya berani dengan membenarkan siasatan SPRM dijalankan.

Menurut Zahida, tidak mungkin kesemua mereka bertindak lompat parti sekiranya tiada alasan dan sebab untuk berbuat demikian ketika Barisan Nasional (BN) tumbang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

“Sudah terang lagi bersuluh. Apa punca lompat-melompat apabila BN kalah PRU14 dulu. Bak kata orang tua kalau tak ada angin masakan pokok bergoyang kan?.” katanya menerusi Facebook.

Dalam pada itu, Zahida berkata, siasatan perlu dijalankan memandangkan isu berkenaan sudah disebut di dalam Mahkamah, baru-baru ini.

“Kami gesa SPRM bertindak segera, jalankan siasatan terhadap Ahli Parlimen Masjid Tanah, Jeli dan nama lain yang disebut.

“Jika Ahli Parlimen yang menang atas tiket Umno itu berani, silalah beri peluang kepada pihak SPRM jalankan siasatan. Berani kerana benar, takut kerana?,” katanya.

Kelmarin, Mas Ermieyati menafikan kenyataan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mendakwa beliau keluar parti selepas PRU14 untuk menyelamatkan diri daripada disiasat SPRM berkait tuduhan salah guna dana pilihan raya.

Bekas Ketua Puteri Umno itu berkata, dakwaan Ahmad Zahid tidak berasas dan tidak benar, malah beliau sedang mempertimbangkan tindakan undang-undang.

Ahmad Zahid ketika memberi keterangan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Rabu lalu mendakwa tiga Ahli Parlimen daripada Umno melompat ke Bersatu kerana mahu menyelamatkan diri dari disiasat SPRM. – Malaysiapost

Komen