BARISAN Nasional (BN) tidak terlibat dalam pemberian kad pengenalan kepada pendatang asing tanpa izin (Pati) seperti didakwa Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Maximus Ongkili, baru-baru ini.
Pengerusi Lembaga Penasihat BN, Datuk Seri Najib Razak, berkata sebaliknya kerajaan BN terdahulu pimpinan beliau melantik pemimpin PBS untuk menyelesaikan masalah Pati di negeri itu.
“Kita tidak terlibat dengan pemberian IC (kad pengenalan kepada Pati), apa yang berlaku pada masa lalu, kita mahu ia diperbetulkan.
“Sebab itu kita letakkan pemimpin PBS untuk menyelesaikannya (masalah Pati di Sabah).
“Bagaimanapun, keutamaan kita sekarang adalah mengukuhkan sempadan negeri ini, mengukuhkan keselamatannya dan meneruskan usaha pembangunan, itu agenda BN,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri program bicara negarawan sempena Konvensyen BN Sabah, hari ini.
Kelmarin, Ongkili dalam Kongres Perwakilan Tahunan PBS mendakwa sebuah parti komponen BN mempergunakan Pati di Sabah demi kepentingan politik mereka.
Tanpa menyebut parti mana dan ketika diterajui siapa, beliau berkata, penglibatan parti terbabit meraih undi daripada Pati terbukti dalam RCI mengenai Pati di Sabah.
Untuk rekod, Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan bagi menyiasat kebanjiran Pati di Sabah ketika era pentadbiran Najib pada 2013.
Pada 2015, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan yang juga Presiden PBS ketika itu dilantik sebagai pengerusi Jawatankuasa Teknikal Pengurusan Warga Asing di Sabah.
Jawatankuasa berkenaan berperanan meneliti laporan dan dapatan RCI dengan tumpuan mengemukakan cadangan penambahbaikan serta mengkaji pelaksanaan sedia ada pengurusan warga asing di Sabah. -Malaysiapost