SEORANG lelaki warga asing yang bekerja sebagai pembantu kedai ditahan polis kerana disyaki terlibat dalam kes pembunuhan di Jalan AU2A/14, Taman Keramat, Kuala Lumpur.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, ACP Mohamad Farouk Eshak, berkata suspek yang berusia 22 tahun ditahan di lokasi kejadian sejurus pihaknya menerima maklumat kira-kira jam 10.36 malam.
Jelasnya, mangsa yang dibunuh merupakan seorang lelaki warganegara asing berusia 37 tahun yang bekerja sebagai buruh.
Menurutnya, mangsa ditemukan di atas jalan raya dengan kesan kecederaan dan tikaman pada bahagian dada.
“Kita merampas sebilah pisau pemotong sayur yang disyaki senjata digunakan dalam kejadian itu.
“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz untuk bedah siasat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohamad Farouk berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua lelaki itu mempunyai dokumen perjalanan yang sah.
Menurut beliau, polis akan membuat permohonan reman terhadap suspek di Mahkamah Ampang hari ini.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya. -Malaysiapost