Gugur Tajuddin sebagai duta besar ibarat pertikai kuasa Agong, kata PM
MENDESAK Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman digugurkan sebagai duta besar ke Indonesia ibarat mempertikaikan kuasa Yang di-Pertuan Agong, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Perdana Menteri berkata, pelantikan Tajuddin yang juga bekas ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno itu sudah pun mendapat kelulusan Jemaah Menteri dan diperkenan Agong.
“Janganlah kita persoalkan kuasa Agong pula. Agong dah perkenan…kita nak tarik balik pula. Nak desak Agong lah tu sebab Agong yang beri perkenan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan persidangan perwakilan MTUC 2022 di Universiti Malaya, Kuala Lumpur, hari ini.
Menjelaskan mengenainya, Ismail Sabri berkata, watikah pelantikan duta besar ke Indonesia itu sepatutnya sudah diserahkan kepada Tajuddin namun tertangguh kerana keadaan Agong yang gering sebelum ini.
“Sepatutnya dah serah watikah hari itu tetapi Agong gering. Selepas ini akan serahkan,” katanya.
Semalam, beberapa pemimpin Umno mendesak Tajuddin digugurkan sebagai duta besar ke Indonesia kerana tindakannya menyerang Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi secara terbuka yang didakwa sebagai memalukan.
Ditanya adakah beliau yang juga Naib Presiden Umno itu bersedia untuk menjadi ‘orang tengah’ mendamaikan keadaan, Ismail Sabri berkata, tiada keperluan untuk berbuat demikian kerana semuanya sudah selesai sekali gus menyangkal wujud pepecahan dalam Umno.
“Tidak timbul orang tengah sebab perkara itu orang dah cakap. Hanya ada satu kem dalam Umno,” katanya.
Sementara itu, Ismail Sabri berkata parti itu masih menunggu kelulusan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS) berhubung pindaan Perlembagaan parti itu.
“Belum dapat lagi kerana dalam masa 60 hari sehingga 16 Julai ini. Masih tunggu lagi,” katanya. – Malaysiapost