PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan hanya terdapat satu kem di dalam Umno.
Kenyataan Naib Presiden Umno itu sekali gus menafikan wujudnya dua kem di dalam parti itu seperti mana yang digembar-gemburkan ketika ini.
“Kem dalam Umno? Hanya ada satu kem dalam Umno,” katanya.
Beliau memberi komen ringkas itu selepas merasmikan Persidang Perwakilan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) di Universiti Malaya, hari ini.
Terdahulu, penganalisis politik mendakwa pendedahan Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman mengenai isu dalaman Umno baru-baru ini, memperlihatkan parti itu kini berpecah kepada dua kem.
Satu daripada kem itu dikatakan menyokong Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan satu lagi kem menyokong kepemimpinan Ismail Sabri.
Sebelum ini, Tan Sri Noh Omar menafikan wujud dua kem berbeza dalam Umno, sebaliknya menjelaskan apa yang berlaku dalam parti itu ketika ini hanyalah berpunca daripada perbezaan pendapat.
Noh yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno berkata, perbezaan pendapat adalah situasi biasa dalam politik dan beliau percaya perkara itu dapat diselesaikan secara baik. – Malaysiapost