Isu harga barang: ‘Berapa banyak jawatankuasa nak tubuh?’ – Syed Saddiq

AHLI Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman membidas keputusan kerajaan menubuhkan Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi untuk menyelesaikan isu rakyat termasuk kos sara hidup.

Beliau berkata, penubuhan pasukan khas itu didakwa tidak perlu memandangkan kerajaan sebelum ini sudah mewujudkan empat jawatankuasa untuk menangani masalah inflasi negara.

Katanya, beliau tidak dapat melihat keberkesanan penubuhan pasukan khas itu memandangkan semua ahli-ahlinya bukan terdiri dari pemain industri.

“Berapa banyak jawatankuasa nak ditubuhkan untuk selesaikan masalah inflasi negara.

“Bukan semalam isu kos sara hidup makin meningkat baru timbul. Dari tahun lepas lagi banyak dah mengadu yang harga ayam makin naik, harga sayur makin naik.

“Yang pelik bin ajaibnya, dah ada empat jawatankuasa yang boleh tangani masalah inflasi negara sekarang,” katanya menerusi Facebook.

Empat jawatankuasa khas yang ditubuhkan kerajaans ebelum ini ialah, Majlis Tindakan Kos Sara Negara, Majlis Tindakan Pengguna Negara, Majlis Tindakan Ekonomi Negara dan Majlis Pemulihan Negara.

Syed Saddiq berkata, sepatutnya pasukan khas itu menjemput wakil daripada Persatuan seperti persatuan pengguna, pengusaha pasaraya, pengusaha ayam dan pengusaha tani.

“Agak-agak bila jawatankuasa ini boleh tangani isu inflasi. Jangan nanti beri kenyataan masih kaji, kaji dan kaji.

“Tapi yang lebih merisaukan, kita ada Kabinet menteri yang sangat besar. 31 Menteri dan 38 Timbalan Menteri. Tapi masih lagi perlukan tubuh satu jawatankuasa baru,” katanya.

Dalam pada itu, Syed Saddiq mengulangi cadangan, menggesa kerajaan menubuhkan Tabung B60 untuk menampung kos sara hidup untuk enam bulan yang akan datang.

“(Selain) buat satu strategi nasional untuk peruntukan tanah, kemahiran dan modal untuk usahawantani muda untuk 10 tahun yang akan datang;

“(Serta) geran khas automasi dan teknologi bagi Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) untuk naikkan produktiviti makanan,” katanya.

Baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan penubuhan Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi bagi membantu rakyat menghadapi cabaran peningkatan kos sara hidup.

Ismail Sabri berkata, pasukan khas yang dipengerusikan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa itu berperanan untuk mengumpulkan semua maklumat daripada kementerian, agensi dan orang ramai. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights