PRESIDEN Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengesahkan pertemuannya dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini, bagi membincangkan lantikan jawatan baharu termasuk jawatan Timbalan Perdana Menteri.
Beliau berkata, dalam pertemuan itu turut dibangkitkan beberapa perkara penting, berlandaskan kandungan perjanjian antara Perikatan Nasional (PN) dan Perdana Menteri.
“Saya dah jumpa Perdana Menteri beberapa hari yang lepas, saya telah mengutarakan beberapa perkara penting termasuk soal perlantikan dalam kerajaan bukan sahaja mengisi kekosongan.
“Tetapi perlantikan-pelantikan baharu, yang perlu dipertimbangkan seperti yang terkandung dalam perjanjian PN dengan Perdana Menteri.
“Kita tidak minta lebih daripada itu, termasuk soal perlantikan Menteri baharu, Timbalan Perdana Menteri termasuk lantikan GLC (syarikat berkaitan kerajaan), badan-badan berkanun dan peruntukan-peruntukan kerajaan,” katanya dalam sidang media.
Muhyiddin berkata demikian bagi menjawab sama ada pihaknya sudah berbincang dengan Ismail Sabri mengenai kedudukan Datuk Zuraida Kamaruddin sebagai Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi.
Kedudukan Zuraida menjadi persoalan selepas beliau sebelum ini dilantik sebagai Menteri tersebut atas kapasitinya mewakili parti Bersatu, namun mengumumkan keluar daripada parti itu pada 26 Mei lalu dan menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).
Susulan itu, Bersatu menuntut agar jawatan Ahli Parlimen Ampang itu digantikan dengan wakil rakyat parti mereka yang lain.
Mengulas lanjut, Muhyiddin turut menegaskan perkara yang dibangkitkannya itu sudah dimaklumkan kepada Ismail Sabri.
“Perkara yang tersenarai itu saya dah maklumkan kepada Perdana Menteri, saya telah minta seberapa segera untuk buat keputusan yang saya harapkan,” katanya. – Malaysiapost