KOMPOSER muzik terkenal, Datuk Ooi Eow Jin yang terkenal sekitar tahun 70an kini semakin uzur dan kesihatannya kian merosot setelah dijangkiti Covid-19.
Eow Jin, 81, banyak mencipta lagu untuk penyanyi-penyanyi terkenal tempatan mahupun luar negara termasuk Sudirman, Dahlan Zainuddin, M Nasir, Rahimah Rahim, Rafeah Buang, Flora Santos, kumpulan Alleycats, Jennifer Yen dan Francis Yip.
Sebelum ini, media melaporkan isteri kepada Eow Jin iaitu Datin Khaw Lean Kee menghubungi Pengerusi Yayasan Kebajikan Artis Tanahair (YKAT), Datuk DJ Dave memaklumkan mereka sekeluarga kini dirawat di Hospital Sungai Buloh akibat Covid-19.
Turut dirawat di hospital berkenaan anak pasangan terbabit Raymond.
Menurut DJ Dave, YKAT telah menyalurkan sumbangan kewangan kepada keluarga komposer itu bagi menampung perbelanjaan mereka ketika menerima rawatan
“Pihak YKAT telahpun memberikan sumbangan kewangan berjumlah RM1,000 kepada Ooi pada 24 Jun kerana mereka dalam keadaan yang sangat terdesak dari segi kewangan dan kesihatan. Tambahan pula dijangkiti Covid-19 dan masih ‘warded’.
“Kami ingin melawat tapi atas faktor prosedur operasi standard (SOP) kami tidak dibenarkan. Datin turut meluahkan perasaan sedih beliau melihat keadaan suami dan anaknya biarpun beliau sendiri tidak sihat.
“Ini benar-benar menyayat hati kami. Justeru marilah sama-sama kita mendoakan agar Datuk Ooi sekeluarga kembali sembuh,” katanya.
Sebagai rekod, Eow Jin menyertai Orkestra RTM sebagai pemuzik pada tahun 1963 sehingga tahun 1967 sebelum berhijrah ke TV3 pada tahun 1986 hingga 1999.
Beliau juga pernah berkhidmat di Institut Teknologi Mara (kini dikenali sebagai Universiti Teknologi MARA), Asia-Pacific of Broadcasting, Yamaha Music School, International College of Music (ICOM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM).
Insan berbakat besar itu cukup terkenal dengan hasil susunan muziknya.
Beliau bertanggungjawab mencipta lagu tema program muzik seperti Muzik Muzik dan Juara Lagu bersama Tan Sri Ahmad Othman Merican. – Malaysiapost