Cukuplah Menteri Kabinet yang ada sekarang – Asyraf Wajdi

TINDAKAN Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin membangkitkan mengenai lantikan jawatan Menteri Kabinet baru termasuk Timbalan Perdana Menteri dikecam sebagai tidak wajar dan tidak kena pada masanya.

Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata ketika rakyat sedang susah dan gelisah hadapi kenaikan harga barang dan kewangan kerajaan yang semakin menipis hingga terpaksa mengkaji semula pelbagai subsidi untuk rakyat, seharusnya tuntutan sedemikian tidak harus timbul.

“Ini bukan masanya untuk menuntut jawatan Timbalan Perdana Menteri ataupun menambah lagi Menteri baharu. Cukuplah jumlah yang ada sekarang dengan rekod jumlah Menteri terbesar dalam sejarah Malaysia.

“Ini tidak termasuk pegawai-pegawai tinggi bertaraf Menteri termasuk Duta-Duta Khas yang dilantik bagi memenuhi tuntutan pelbagai parti yang membentuk kerajaan campuran ketika ini,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Beliau berkata, sewajarnya dalam menzahirkan solidariti bersama rakyat yang sedang kesempitan, elaun-elaun Menteri, Timbalan Menteri, Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Duta-Duta Khas Bertaraf Menteri wajar dipotong.

Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) dalam satu sidang media semalam mengesahkan pertemuannya dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob adalah bagi membincangkan lantikan jawatan baru Menteri Kabinet termasuk jawatan Timbalan Perdana Menteri.

Menurutnya, perkara yang dibangkitkan itu adalah berlandaskan kandungan perjanjian antara PN dan Perdana Menteri.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada kedudukan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin sudah dibincangkan dengan Ismail Sabri. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights