AHLI Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, mendakwa kini telah ada kluster ‘saksi hidup’ dalam Umno.
Menurutnya, kluster terbabit adalah apa yang dimaksudkan sebagai ‘jurucakap’ Bersatu oleh Pengerusi Lembaga Penasihat BN, Datuk Seri Najib Razak di Konvensyen BN Sabah, semalam.
“Bossku (Najib) kata, ada empat jenis ahli Umno setelah BN kalah Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) pada 2018.
“Satu darinya ialah, mereka yang masih bersama dalam Umno tetapi bercakap seperti mereka orang Bersatu. Mereka jadi jurucakap Bersatu,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Menurutnya, perangai buruk Bersatu yang tikam belakang Umno di Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah hanya di diamkan sahaja oleh mereka yang berkenaan, namun bersuara mengecam pemimpin parti sendiri.
“Perangai buruk Bersatu minta jawatan Menteri dan Timbalan Perdana Menteri (TPM) yang kosong mereka juga diam. Pada mereka, kerajaan majoriti lemah ‘OK’ walaupun ‘KO’.
“Mereka kecam bila pemimpin Umno bising pasal jawatan Menteri dan TPM. Mereka tuduh parti sendiri (Umno) gila jawatan,” katanya.
Beliau berkata, ‘jurucakap’ berkenaan turut mempertahankan kerajaan hari ini stabil dan tidak perlu Pilihan Raya Umum (PRU) awal, walaupun Bersatu kuat mengugut diberi segera jawatan Menteri dan TPM yang kosong.
“Senang cakap sudah ada kluster saksi hidup,” katanya. – Malaysiapost